PRN Sabah: SPR boleh tunda, tangguh proses pilihan raya jika keadaan cuaca terlalu serius

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan untuk menunda atau menangguhkan proses pengundian sekiranya cuaca pada hari pengundian esok mencapai tahap bencana serius seperti banjir besar, tanah runtuh atau kawasan terputus hubungan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan telah menerima taklimat cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sejak beberapa hari lalu.
"Seperti biasa kita minta para pengundi untuk keluar awal sebab kita tak boleh jangka cuaca dalam keadaan sekarang dan berdasarkan laporan MetMalaysia, esok juga akan ada berlaku hujan tapi diramalkan keadaan akan lebih serius pada sebelah petang.
"Jadi kita menggalakkan semua untuk keluar lebih awal dan sediakan baju hujan, payung dan sebagainya, jaga keselamatan," katanya dalam sidang media sempena lawatan Semakan Isi Peti Undi di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.
Ramlan berkata, SPR tidak menyediakan tambahan masa untuk proses pengundian kerana peraturan semasa tidak membenarkan pelanjutan kecuali dalam situasi bencana yang sangat serius.
"Kita jangka mungkin ada sedikit kesan terhadap peratusan keluar mengundi kerana cuaca. Namun tiada tambahan masa yang diberikan.
"Hanya jika berlaku keadaan terlalu serius seperti banjir besar, tanah runtuh atau kawasan terputus hubungan, SPR boleh menunda atau menangguhkan mengikut proses mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa jika hanya berlaku banjir kilat atau cuaca buruk biasa, proses pengundian tetap diteruskan seperti biasa dengan agensi bencana negeri menggerakkan aset masing-masing bagi membantu pengundi.
"Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah akan menggerakkan aset seperti bot atau perahu bagi membantu laluan pengundi di kawasan yang terjejas. Apa yang penting, perjalanan pengundian tidak terganggu," katanya.
Mengenai sasaran peratusan keluar mengundi, Ramlan berkata, SPR menyasarkan sekurang-kurangnya melebihi 60 peratus mengambil kira faktor cuaca.
"Kita memang mengharapkan seramai mungkin boleh keluar, kalau berdasarkan pada pengundi awal, peratusan keluar pengundi lebih dari 90 peratus. Tetapi dengan cuaca begini, kita harapkan lebih 60 peratus akan keluar pengundi, itu berdasarkan kepada PRN16 yang lepas.
"Proses pengundian akan berlangsung antara 7.30 pagi hingga 5 petang, namun beberapa pusat pengundian di kawasan pulau akan ditutup lebih awal sekitar 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari mengikut keperluan logistik.
"Saya menyeru lebih 1.7 juta pengundi berdaftar di Sabah memanfaatkan peluang ini untuk memilih wakil rakyat masing-masing. Ambil langkah keselamatan sewajarnya dan keluarlah mengundi lebih awal,” katanya.
Ringkasan AI
- SPR mungkin tunda proses pengundian jika cuaca buruk
- SPR siap siaga dan terima taklimat cuaca dari MetMalaysia dan Nadma
- Pengundi digalak keluar awal dan sediakan perlindungan cuaca
- Tidak ada tambahan masa pengundian kecuali bencana serius
- SPR target peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus walaupun cuaca buruk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
