'Keluar Warisan sebab tidak dipilih jadi calon PRN Sabah'

KOTA KINABALU - Ketua Bahagian Warisan Sipitang mengambil keputusan keluar daripada parti itu dipercayai kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah.
Timbalan Presiden Warisan, Datuk Ignatius Dorell Leiking berkata, beliau dimaklumkan mengenai tindakan individu berkenaan yang keluar Warisan pada Khamis.
Menurutnya, Warisan bukan sebuah parti yang ditubuhkan hanya untuk memberikan kerusi kepada calon.
"Ya, kita berterima kasih atas jasa mereka, tapi kita juga tahu ada antara mereka keluar kerana tidak jadi calon.
"Kitapun tidak mahu cakap pasal itu sebab parti ini bukan khususnya untuk menjadi calon, tapi untuk menyelamatkan Sabah," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Warisan Karambunai di Kota Kinabalu pada Khamis malam.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Ketua Bahagian Warisan Sipitang, Abd Aziz Taip, keluar daripada parti tersebut dan memilih untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
