Selepas seminggu, graduan Master bawa pakcik Grab jumpa ayah

SEREMBAN – “Pakcik yang jadi ayah saya sehari akhirnya bertemu dengan ayah sebenar saya.”
Demikian kongsi Mirza Nurzahira Nadzaruddin, 25, mengenai detik pertemuan semula dengan pemandu e-hailing, Mohamad Safie Rabian, 66, yang pernah membantunya ketika sedang sakit pada 16 November lalu.
Lebih manis, pertemuan kedua itu turut disertai ibu bapanya yang datang dari Ipoh bagi menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Selasa lalu.
Kisah kebaikan hati lelaki warga emas terbabit dikongsi graduan sarjana ini di media sosial sebelum ini sehingga menjadi tular.
Ketika dihubungi Sinar Harian, Mirza Nurzahira berkata, pengalaman dibantu warga emas itu merupakan antara kenangan paling manis dalam hidupnya sehingga membuatkan bapanya sendiri bersungguh mahu bertemu lelaki berkenaan.
“Selepas dibantu pakcik hari itu, saya tidak lagi berjumpa dengannya kerana terus pulang ke Ipoh.
“Saya ceritakan semuanya kepada keluarga, dan memandangkan saya perlu hadir konvokesyen di UKM pada 25 November, ayah nyatakan hasrat untuk berjumpa pakcik,” katanya.
Graduan Sarjana dalam pengajian Antropologi dan Sosiologi itu berkata, dia memaklumkan hasrat bapanya kepada Mohamad Safie dan warga emas berkenaan menerimanya dengan hati terbuka.
Menurutnya, pada awalnya mereka merancang untuk berkunjung ke rumah Mohamad Safie di Senawang sebaik selesai majlis konvokesyen, namun terpaksa menukar rancangan kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.
“Jadi saya tanya pakcik kalau dia boleh turun ke UKM pada hari konvokesyen dan dia bersetuju.
“Oleh kerana suasana di UKM agak sesak, kami putuskan untuk berjumpa di sebuah kedai makan berdekatan,” ujarnya.
Kata Mirza Nurzahira, pertemuan singkat itu amat bermakna buat mereka sekeluarga kerana dapat mengenali seorang insan yang mempunyai hati yang baik seperti Mohamad Safie.
Dia turut percaya yang sikap baik lelaki berkenaan bukannya dibuat-dibuat, tetapi sememangnya begitu.
"Masa kami berjumpa itu, ayah memang dah niat nak belanja pakcik makan, tapi bila nak bayar ayah terpaksa berebut dengan pakcik.
“Tapi ayah akhirnya terpaksa mengalah bila pakcik cakap dia nak belanja sebab kami datang dari jauh," katanya.
Anak ketiga dari lapan beradik ini juga berkata, tidak terlintas dalam fikirannya yang lelaki itu mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya apabila sering menghantar mesej bertanya khabar sejak insiden terbabit.
"Lagi pun pakcik tak pernah hantar mesej yang pelik-pelik dan saya percaya dia anggap saya seperti anak sendiri.
"Saya pun tak sangka yang cerita saya dengan pakcik ini menjadi tular kerana niat saya berkongsi di media sosial kerana terharu dengan kebaikannya," katanya.
Ringkasan AI
- Mirza Nurzahira Nadzaruddin bertemu semula dengan pemandu e-hailing yang membantunya ketika sakit, Mohamad Safie Rabian, semasa konvokesyen di UKM
- Pertemuan tersebut disaksikan oleh ibu bapa Mirza yang datang dari Ipoh
- Kisah kebaikan Mohamad Safie menjadi tular di media sosial
- Ayah Mirza bersungguh mahu bertemu dengan Mohamad Safie sebagai tanda penghargaan
- Pertemuan itu diadakan di sebuah kedai makan berdekatan dengan UKM dan menjadi kenangan bermakna bagi keluarga Mirza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

