HONOR Magic8 Pro tawar nilai berbeza berbanding iPhone

SHAH ALAM – HONOR hari ini melancarkan telefon pintar flagship terbaharu, HONOR Magic8 Pro ke pasaran Malaysia dengan penawaran ciri yang disifatkan sebagai pilihan alternatif berbeza berbanding siri iPhone 17.
Presiden HONOR bagi Pasifik Selatan, Justin Li, berkata pihaknya tidak menyasarkan untuk menggantikan iPhone 17, sebaliknya menawarkan pilihan kepada pengguna yang mempunyai keperluan khusus.
Beliau mengakui iPhone mempunyai kekuatan tersendiri dalam sistem asas dan ekosistem perisian namun terdapat kumpulan pengguna yang lebih mengutamakan fotografi, sambungan rangkaian stabil, ketahanan bateri, paparan mesra mata dan kos penyelenggaraan rendah.
“Bagi pengguna dengan keperluan seperti ini, HONOR Magic8 Pro merupakan pilihan yang sesuai,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.
Keupayaan kamera dipertingkat

Magic8 Pro turut dipilih sebagai Peralatan Fotografi Mudah Alih Pilihan Sempena Kempen Visit Malaysia 2026, hasil gabungan kamera telefoto 200MP dengan penstabilan CIPA 5.5, lensa sudut lebar berkualiti tinggi dan kamera hadapan beresolusi tinggi.
Model ini turut dikuasakan tiga enjin imej eksklusif HONOR yang meningkatkan prestasi dalam situasi malam, telefoto, makro dan potret. Ciri Magic Color pula membolehkan sistem meniru gaya warna foto pilihan pengguna melalui kecerdasan buatan.
Sambungan lebih stabil
Bagi meningkatkan sambungan rangkaian, Magic8 Pro menggunakan cip C1+ RF yang dibangunkan sendiri, menawarkan peningkatan sehingga 15 peratus pada prestasi Wi-Fi.
Reka bentuk antena baharu turut menyumbang kepada peningkatan sehingga 90 peratus kekuatan penghantaran isyarat dan 108 peratus sensitiviti penerimaan, sekali gus menyokong penggunaan di kawasan lemah isyarat atau lokasi sesak.

Bateri kapasiti besar, pengecasan pantas
Isu kebimbangan bateri diatasi melalui penggunaan bateri Silikon Karbon 7100mAh, yang mampu bertahan seharian atau lebih bagi pengguna tegar.
Magic8 Pro juga menyokong 100W pengecasan berwayar dan 80W pengecasan tanpa wayar, mampu mengecas penuh secara tanpa wayar dalam tempoh kurang sejam. Kapasiti dan kelajuan pengecasannya adalah lebih tinggi berbanding siri iPhone 17.
Ketahanan dan perlindungan tambahan
Dari segi ketahanan, Magic8 Pro dilengkapi NanoCrystal Shield yang menawarkan rintangan hentakan 10 kali lebih baik serta menerima penarafan SGS 5-Star Drop Resistance.
Peranti ini turut hadir dengan penarafan IP68, IP69 dan IP69K, menjadikannya lebih lasak untuk debu dan air berbanding iPhone 17 Pro yang hanya menyokong IP68.
HONOR turut menyediakan perlindungan tambahan merangkumi 365 hari perlindungan kerosakan hadapan dan belakang,jaminan kerosakan air selama setahun dan lanjutan jaminan satu tahun.
Daripada ketahanan perkakas ke perkhidmatan, pengguna menikmati pengalaman tanpa kebimbangan dan tanpa perlu membayar tambahan.
Pilihan alternatif untuk pasaran Flagship

Dengan pelancaran Magic8 Pro, HONOR mengambil pendekatan menawarkan pilihan berbeza kepada pengguna Malaysia, khususnya mereka yang menekankan pengalaman fotografi, sambungan stabil, ketahanan dan kos penyelenggaraan rendah.
Dengan HONOR Magic8 Pro, HONOR memilih strategi yang bijak untuk pasaran flagship Malaysia, bukan untuk menggantikan iPhone, tetapi menawarkan pilihan alternatif yang berbeza dan lebih menarik kepada pengguna yang mengutamakan pengalaman premium tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
