Ops Covid-19: 31 individu ditahan, lima didakwa di Pulau Pinang

Polis menambah 10 sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang menjadikan jumlah keseluruhan adalah 34.
Polis menambah 10 sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang menjadikan jumlah keseluruhan adalah 34.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan 31 individu dan daripada jumlah itu, lima individu didakwa di atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, dua daripada lima yang didakwa itu didapati tidak mempunyai lesen memandu dan meninggikan suara serta mengeluarkan kata-kata kesat ketika polis menahan mereka dalam sekatan jalan raya di Bukit Mertajam, 20 Mac lalu.

Menurutnya, dua lelaki lagi dituduh selepas ditahan kerana merempuh sekatan jalan raya ketika pemeriksaan dijalankan di Bayan Baru, 21 Mac lalu.

"Seorang lelaki lagi didakwa kerana enggan memberi kerjasama selepas polis meminta dia beredar dari tempat meletak kereta di Flat Desa Wawasan, Bukit Mertajam.

"Oleh demikian, jumlah setakat ini yang didakwa di mahkamah adalah lima individu yang mana akan ada pertuduhan lagi selepas ini kerana siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, polis menerima 41 laporan berhubung penipuan jual beli topeng muka melibatkan kerugian RM380,672.

Tambahnya, daripada laporan itu, hanya satu telah didakwa di mahkamah dan selebihnya masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan sama, sehingga kini, Polis Pulau Pinang telah menambah 10 sekatan jalan raya menjadikan jumlah keseluruhan 34 di seluruh negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa jumlah itu memadai setakat ini. Bagaimanapun, kita akan lihat keperluan menambah sekatan jalan raya dari masa ke semasa. Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, semua sekatan jalan raya menyediakan laluan khas untuk servis penting (essential services).

"Mereka yang tergolong dalam servis penting ini perlu mempunyai kad, pas kebenaran atau surat untuk menggunakan laluan khas ini, antaranya trak membawa keperluan makanan, kakitangan hospital dan sebagainya. Setakat hari ini, 94 peratus didapati telah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Sahabudin berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kadar jenayah di Pulau Pinang menurun lebih daripada 50 peratus.

"Sebelum ini, 14 kes dicatatkan setiap hari, namun kini hanya ada tiga hingga lapan kes sahaja. Ia menurun melebihi 50 peratus.

"Semua anggota polis Pulau Pinang berjumlah 5,400 telah terlibat dengan Ops Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini sehingga 14 April nanti. Selain polis, kita juga mendapat bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).