[VIDEO] TNB rugi RM5.14 bilion akibat kecurian elektrik

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilaporkan menanggung kerugian berjumlah RM5.14 bilion dalam tempoh 2020 hingga 2025 akibat kes kecurian elektrik.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 14,489 rumah diperiksa menerusi 91 operasi pembongkaran dengan 77 kertas siasatan telah dibuka.
Katanya, setakat ini juga terdapat sebanyak 85 kes melibatkan premis didapati menjadi mangsa kecurian elektrik telah direkodkan dan mereka tidak didakwa serta tidak dikenakan bayaran oleh TNB.
“Mereka tidak perlu membayar kepada TNB kalau dapat dibuktikan mereka benar-benar orang yang teraniaya iaitu premis digunakan secara tidak betul (mencuri elektrik). Sebab itu langkah yang kita nak ambil ialah memberi kesedaran terutamanya bagi pemilik premis sama ada premis kediaman mahupun perniagaan.
“Kalau mereka sewakan tempat kepada orang pastikan jangan mengguna nama mereka untuk memohon. Pastikan penyewa yang memohon supaya mereka tidak menjadi mangsa kepada penggunaan elektrik tidak bertanggungjawab," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah kerugian ditanggung TNB sejak 2020 hingga kini akibat kes kecurian elektrik khususnya dalam aktiviti sindiket mata wang kripto.
Fadillah menegaskan, TNB telah memperkenalkan kaedah pengesahan identiti menggunakan cap jari dan kad pengenalan (MyKad), dengan data disemak terus melalui peranti biometrik TNB bagi mengatasi masalah kecurian elektrik dan mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa pemalsuan identiti.
Menurutnya, kaedah baharu berkenaan selamat, menepati piawaian industri serta telah diguna pakai secara meluas dalam sektor kerajaan, perbankan dan telekomunikasi.
"Melalui kaedah pengesahan identiti secara digital (eKYC), pengguna perlu mengimbas dokumen pengenalan (MyKad/pasport) dan memadankannya dengan visual diri (swafoto) bagi pengesahan wajah.
"Penggunaan eKYC akan diperluas secara berperingkat mulai tahun ini bagi semua permohonan individu melalui portal myTNB. Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010," ujarnya.
Fadillah menjelaskan, hasil penggunaan sistem tersebut, terdapat pengurangan kes pemalsuan dokumen identiti dengan hanya tiga kes direkodkan tahun lalu.
"Kalau kita lihat rekod pemalsuan dokumen identiti dari 2021 ada 92 kes yang kita terima aduan, pada 2022 pula 49 kes, mula menurun. Pada 2023 bila diperkenalkan sistem biometrik kes mula turun kepada 26, 2024 hanya tiga kes direkodkan itu pun disebabkan permohonan secara dalam talian," katanya.
Kata beliau, kerajaan juga bakal memperluas sistem sama bagi urusan secara dalam talian dan ketika ini sistem tersebut dilaksanakan secara rintis di Kuala Lumpur sebelum akan digunakan di seluruh negara.
Ringkasan AI
- TNB menanggung kerugian RM5.14 bilion dari 2020 hingga 2025 akibat kes kecurian elektrik
- Sebanyak 14,489 rumah diperiksa dan 77 kertas siasatan dibuka dalam 91 operasi pembongkaran
- Terdapat 85 kes premis menjadi mangsa kecurian elektrik tanpa didakwa atau dikenakan bayaran oleh TNB
- TNB memperkenalkan kaedah pengesahan identiti menggunakan cap jari dan MyKad untuk mengatasi masalah kecurian elektrik
- Penggunaan sistem pengesahan identiti secara digital (eKYC) telah mengurangkan kes pemalsuan dokumen identiti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

