Selepas SPM, ke mana hala tuju pelajar?

Hakikat paling jujur ialah ramai pelajar keluar dari dewan peperiksaan tanpa hala tuju yang jelas.
Hakikat paling jujur ialah ramai pelajar keluar dari dewan peperiksaan tanpa hala tuju yang jelas.
A
A
A

SETIAP tahun, ribuan pelajar menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan harapan baharu.

Namun, di sebalik senyuman bergambar dengan slip keputusan, satu persoalan besar terus menghantui kebanyakan daripada mereka “Selepas ini, aku nak pergi mana?”

Hakikat paling jujur ialah ramai pelajar keluar dari dewan peperiksaan tanpa hala tuju yang jelas. Mereka tahu SPM itu penting tetapi tidak tahu bagaimana keputusan itu menterjemah masa depan.

Mereka keliru dengan ratusan laluan seperti matrikulasi, asasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kolej komuniti, diploma, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah teknik dan universiti.

Lebih membingungkan, setiap laluan menawarkan pelbagai program yang kedengaran teknikal dan sukar difahami oleh remaja berusia 17 tahun.

Inilah masalah sebenar sistem kita iaitu pendedahan kerjaya datang terlalu lewat sedangkan dunia pekerjaan hari ini berubah jauh lebih cepat daripada silibus di sekolah.

Pelajar mempelajari subjek wajib tetapi jarang sekali diperkenalkan kepada realiti kerjaya seperti sifat kerja, kemahiran yang diperlukan, gaji permulaan, risiko, masa depan industri dan struktur pengajian. Tanpa maklumat ini, bagaimana mereka mampu membuat keputusan yang menentukan masa depan?

Lebih membimbangkan ialah mentaliti sesetengah ibu bapa yang masih meletakkan universiti sebagai satu-satunya laluan dianggap “berprestij”.

Sedangkan hari ini, sektor TVET menawarkan peluang pekerjaan lebih stabil dan permintaan tinggi, terutama dalam bidang teknologi, automasi, perhotelan dan kejuruteraan. Namun, ramai pelajar takut untuk memilih kerana tidak faham apa sebenarnya menanti.

Artikel Berkaitan:

Sekolah pula sering kekurangan kaunselor kerjaya yang benar-benar mampu memberi bimbingan khusus. Sesi kaunseling secara besar-besaran tidak cukup untuk membantu pelajar memahami minat, kekuatan dan opsyen laluan mereka. Keperluan ini semakin mendesak.

Jadi sudah tiba masanya Malaysia memperkukuhkan sistem bimbingan kerjaya bermula dari Tingkatan Satu lagi.

Masa depan anak-anak kita tidak boleh bergantung kepada teka-teki.

Selepas SPM bukanlah penamat tetapi permulaan yang wajar dibimbing dengan lebih jelas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!