Amaran hujan berterusan di Segamat dan Tangkak, penduduk diminta waspada

JOHOR BAHRU – Penduduk daerah Segamat dan Tangkak diminta bersedia berikutan amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi bermula Jumaat dan Sabtu ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana sedang bersiapsiaga, termasuk pemantauan paras air sungai, logistik, serta penyelarasan tindakan di kawasan berisiko.
Jelas beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan setiap keperluan bantuan dapat digerakkan dengan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
"Saya telah menerima makluman terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bahawa amaran hujan berterusan (Waspada) telah dikeluarkan bagi daerah Segamat dan Tangkak, dari 28 hingga 29 November ini.
"Amaran ini dikeluarkan berikutan jangkaan sistem cuaca bertekanan rendah yang kini berada di Selat Melaka dan dijangka bergerak ke timur merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang dalam tempoh tersebut.
"Pergerakan sistem cuaca ini turut memberi potensi berlakunya hujan berterusan di kawasan utara Johor," katanya dalam muat naik di Facebook rasminya.
Onn Hafiz seterusnya meminta orang ramai sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa dan patuh arahan pihak berkuasa terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau yang kerap terjejas ketika musim hujan.
Ringkasan AI
- Penduduk Segamat dan Tangkak diminta bersedia berikutan amaran hujan berterusan dari Jabatan Meteorologi Malaysia
- Kerajaan negeri dan agensi keselamatan bersiapsiaga termasuk pemantauan paras air sungai
- Langkah diambil untuk memastikan bantuan segera jika cuaca bertambah buruk
- Amaran hujan untuk 28 hingga 29 November berikutan sistem cuaca bertekanan rendah di Selat Melaka
- Orang ramai disarankan memantau cuaca dan patuh arahan bagi yang tinggal di kawasan berisiko
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

