ABIM gesa siasatan penuh isu peletakan jawatan Shamsul Iskandar

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa supaya menjalankan siasatan menyeluruh mengenai peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin susulan wujud dakwaan isu pemberian wang tunai dan kelengkapan rumah daripada seorang ahli perniagaan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, semua pihak yang terlibat dalam dakwaan ini mesti disiasat termasuk individu yang disyaki menawarkan atau memberikan sebarang bentuk imbuhan kewangan atau material.
Menurutnya, tindakan ini penting memandangkan kecurangan tidak boleh dibiarkan berlegar sebagai persepsi, tetapi perlu dibuktikan secara objektif melalui proses undang-undang yang adil dan saksama.
“ABIM menghormati keputusan beliau berundur sebagai suatu langkah bertanggungjawab bagi memberi ruang kepada siasatan bebas dan tanpa konflik kepentingan.
“Namun, pemberi imbuhan juga perlu didakwa dan dipertanggungjawabkan dengan tindakan undang-undang jika terbukti bersalah selaras dengan peruntukan undang-undang. Ini untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan secara menyeluruh, di mana ia turut meliputi usaha membasmi rasuah secara tuntas.
“Bahkan tindakan perundangan seperti ini adalah penting untuk memberi tindakan agar perbuatan memberi serta meminta rasuah dapat dibasmi pada masa mendatang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shamsul Iskandar menerusi hantaran di platform X pada Selasa mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menyedari terdapat percubaan untuk menyerangnya dan ia boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, dalam suasana negara yang sedang giat memperkukuh agenda antirasuah, tidak wajar wujud sebarang pelanggaran etika atau integriti dalam pentadbiran awam, khususnya di posisi strategik membabitkan kepimpinan negara.
Justeru katanya, pihak berkuasa digesa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada tekanan politik.
“Jika terbukti wujud pelanggaran undang undang, maka tindakan tegas mesti diambil. Sebaliknya, jika tiada asas terhadap dakwaan tersebut, proses ini penting untuk membersihkan nama dan memulihkan keyakinan awam,” katanya.
Tambahnya, ABIM berpegang keadilan hanya dapat ditegakkan melalui bukti, ketelusan dan kedaulatan undang undang bukan melalui spekulasi.
Ringkasan AI
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) gesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu pemberian wang dan kelengkapan rumah kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri oleh seorang ahli perniagaan
- Semua pihak terlibat dalam dakwaan harus disiasat termasuk individu yang didakwa menawarkan atau memberikan imbuhan
- Pentingnya membuktikan kecurangan secara objektif melalui proses undang-undang yang adil
- Pemberi imbuhan perlu didakwa dan diambil tindakan undang-undang jika terbukti bersalah
- Siasatan harus dilakukan secara profesional dan bebas daripada tekanan politik untuk memastikan keadilan dan membasmi rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

