Wanita Indonesia dipukul, tak dibayar gaji diselamatkan

GOMBAK – Seorang wanita warga Indonesia mendakwa dipukul majikan dan tidak menerima gaji sejak dua tahun lalu akhirnya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Batu Caves di sini pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mangsa berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan ketakutan ketika bersembunyi di bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Siasatan mendapati mangsa bertindak sedemikian atas arahan majikan bagi mengelak dikesan oleh pegawai operasi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zakaria berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat JIM Putrajaya hasil maklumat yang diterima daripada sumber yang tidak boleh didedahkan.

"Mangsa dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang Pas yang sah.
"Berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji sebanyak RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran gaji sejak dua tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul oleh majikan.
"Selain itu, pasport milik mangsa tidak berada dalam simpanannya sepanjang tempoh bekerja, malah berdepan sekatan komunikasi apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit, dilarang menghubungi dan pulang menemui keluarga.
"Mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat hingga terpaksa mencuri masa untuk tidur," katanya.
Menurutnya, dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang juga majikan telah ditahan.
"Lelaki itu mengaku mendapatkan khidmat mangsa melalui ahli keluarga terdekat," katanya.
Zakaria berkata, operasi menyelamat itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
"JIM telah memulakan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)," katanya.
Beliau berkata, JIM memandang serius perkara seumpama ini dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.
"Orang awam dinasihatkan agar terus menyalurkan maklumat berkenaan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil dalam usaha membanteras jenayah ini.
"Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel ke urusetia_p@imi.gov.my," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga Indonesia dipukul oleh majikan dan tidak dibayar gaji sejak dua tahun lalu diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia
- Mangsa bersembunyi di bawah sebuah kenderaan ketika operasi penyelamatan dilakukan
- Operasi penyelamatan ini melibatkan pegawai dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran serta Bahagian Pengubahan Wang Haram
- Mangsa telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa pas yang sah dan tidak menerima gaji selama dua tahun terakhir
- Majikan mangsa, seorang lelaki tempatan, telah ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
