Cubaan cemar imej PMX, Shamsul Iskandar perlu tampil pertahan diri - Pemuda Pas

Afnan Hamimi
Afnan Hamimi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin segera membersihkan nama beliau susulan dakwaan berkaitan pemberian wang yang mengaitkannya dengan projek hospital pada 2024.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan meletakkan jawatan sahaja tidak mencukupi dan Shamsul Iskandar perlu membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangkis tuduhan serius itu.

Beliau juga melihat perkembangan itu sebagai cubaan memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pentadbiran Kerajaan Madani.

“Tak mungkin Kerajaan Madani terpalit dengan kes rasuah begini. Imej PMX mesti dibersihkan segera,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Afnan turut menyeru penyokong kerajaan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan reputasi pentadbiran.

“Parti ini parti derita sudah!” tambahnya.

Terdahulu, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu mengumumkan peletakan jawatannya pada Selasa.

Menerusi perkongsian di platform X, Shamsul Iskandar dilaporkan berkata surat berkenaan sudah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Selasa pagi.

Tindakan itu diambil enam hari selepas Anwar membuat teguran keras kepada setiausaha politiknya itu kerana mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Iskandar turut berkata keputusan itu diambil susulan wujud percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh menjejaskan imej Kerajaan Madani.

Ringkasan AI

  • Pemuda Pas menggesa Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar membersihkan nama susulan dakwaan pemberian wang berkait projek hospital
  • Shamsul Iskandar disaran membuat laporan polis dan kepada SPRM untuk menangkis tuduhan
  • Dakwaan itu dilihat sebagai cubaan memburukkan imej Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan pentadbiran Kerajaan Madani
  • Afnan Hamimi menyeru penyokong kerajaan mempertahankan reputasi pentadbiran
  • Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatan enam hari selepas ditegur Anwar Ibrahim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!