Suspek serang wartawan sukan mungkin salah sasaran – Ketua Polis KL

KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menyerang wartawan sukan, Haresh Deol telah tersalah sasaran.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati serangan terhadap individu terbabit dipercayai berunsur peribadi akibat gangguan terhadap isteri suspek.
“Ia (motif) seperti ada gangguan terhadap isteri dia (suspek) jadi lebih kepada peribadi namun nampak macam salah sasaran pun ada kerana dia mahu pukul yang kacau isterinya tetapi salah orang.
“Bagaimanapun, semua ini kita bandingkan dengan semua keterangan dan siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH di sini pada Khamis.
Fadil berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Tangkapan setakat ini membabitkan seorang individu yang kini direman. Namun kita akan angkat kepada AGC dan kemukakan cadangan untuk tuduh,” katanya.
Terdahulu, Haresh Deol, menolak dakwaan polis bahawa serangan terhadapnya kelmarin didorong oleh isu peribadi.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan daripada Haresh berhubung kejadian pada kira-kira jam 4 petang, kelmarin di Pondok Polis Bangsar.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika mangsa sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.
Sebelum itu, Haresh menerusi hantaran di laman X, mendakwa diserang dua lelaki sementara seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
Ringkasan AI
- Polis tidak menolak kemungkinan suspek menyerang wartawan sukan Haresh Deol tersalah sasaran
- Siasatan awal menunjukkan serangan mungkin berunsur peribadi akibat gangguan terhadap isteri suspek
- Suspek mahu membalas dendam tetapi menyerang orang yang salah
- Polis akan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara
- Haresh Deol menolak dakwaan serangan terhadapnya didorong oleh isu peribadi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
