AEON Bank, Zurich Takaful tawar pelan perlindungan digital serendah RM5

Wakil media dan pempengaruh sempena acara ‘The New Era of Protection’ pada Selasa.
Wakil media dan pempengaruh sempena acara ‘The New Era of Protection’ pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank digital Islam pertama di Malaysia, AEON Bank (M) Bhd dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Bhd memperkenalkan dua pelan perlindungan baharu iaitu ‘Personal Accident Takaful’ dan ‘Term Takaful’ menerusi platform perbankan digital mereka.

Inisiatif itu bertujuan menyediakan perlindungan inklusif dan ditawarkan pada kadar caruman yang berpatutan bagi memastikan lebih ramai pengguna mampu mendapatkan perlindungan asas untuk diri serta keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata, pelan ‘Personal Accident Takaful’ menyediakan perlindungan kecemasan akibat kemalangan dengan caruman serendah RM5 sebulan, manakala pelan ‘Term Takaful’ menawarkan perlindungan hayat yang fleksibel dengan caruman bermula RM18 sebulan.

Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz (dua kiri) dan Junior Cho (dua dari kanan) sewaktu pelancaran dua pelan insurans menerusi aplikasi perbankan digital AEON Bank pada Selasa.
Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz (dua kiri) dan Junior Cho (dua dari kanan) sewaktu pelancaran dua pelan insurans menerusi aplikasi perbankan digital AEON Bank pada Selasa.

“Para pelanggan kami sudah biasa menggunakan aplikasi AEON Bank setiap hari untuk pembayaran digital serta mengurus belanjawan dan kewangan mereka.

“Justeru itu, kini mereka juga boleh memilih pelan Takaful yang sesuai untuk melindungi diri serta keluarga dengan amat mudah melalui aplikasi yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, inisiatif pelan yang boleh diakses sejak 29 Oktober itu bertujuan menawarkan produk perlindungan yang tepat bagi membantu pelanggan menjalani kehidupan dengan lebih bermakna disokong oleh pelan Takaful yang lebih lengkap.

“Kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Bhd ini merupakan kesinambungan komitmen AEON Bank untuk menyediakan perlindungan Takaful patuh Syariah pada kadar caruman yang berpatutan, serta diintegrasikan secara lancar dalam ekosistem digital kami,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, kerjasama tersebut menggabungkan inovasi digital AEON Bank, kepakaran perlindungan global Zurich dan penawaran Zurich Edge dalam menyediakan akses lebih mudah kepada rakyat bagi mendapatkan perlindungan Takaful dengan kaedah lebih moden.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perlindungan yang beretika, inklusif dan boleh diakses oleh semua, dengan memastikan ia mudah disertai, senang difahami serta sesuai dengan gaya hidup masa kini.

“Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan penawaran penyelesaian mikro-Takaful yang memenuhi keperluan individu dan keluarga di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masa depan yang lebih cerah untuk semua,” menurutnya.

Ujar Cho, pelan Personal Accident Takaful menyediakan perlindungan sekiranya berlaku hilang upaya kekal menyeluruh atau kematian akibat kemalangan, dengan pilihan jumlah perlindungan sebanyak RM50,000 atau RM80,000.

“Pelan Term Takaful pula menawarkan perlindungan lebih menyeluruh merangkumi kematian atau hilang upaya kekal, selain turut menyediakan manfaat tambahan termasuk perbelanjaan pengebumian dan elaun harian hospital, dengan pilihan jumlah perlindungan sebanyak RM50,000 atau RM80,000,” kata beliau.

 

Ringkasan AI

  • AEON Bank (M) Bhd kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Bhd memperkenalkan dua pelan perlindungan baharu melalui platform perbankan digital
  • Pelan 'Personal Accident Takaful' menawarkan perlindungan kecemasan akibat kemalangan dengan caruman RM5 sebulan
  • Pelan 'Term Takaful' menawarkan perlindungan hayat fleksibel dengan caruman bermula RM18 sebulan
  • Inisiatif ini bertujuan menyediakan perlindungan inklusif pada kadar berpatutan untuk memudahkan akses perlindungan kepada pengguna
  • Kerjasama ini menggabungkan inovasi digital AEON Bank, kepakaran global Zurich dan Zurich Edge untuk menyediakan perlindungan Takaful moden dan mudah diakses

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!