Anggota tentera, pasangan teruja pertama kali buang undi di Sabah

PUTATAN - Dua sahabat yang masing-masing berasal dari Melaka dan Kelantan selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, di sini, pada pagi Selasa.
Prebet Uwais Samsuri, 26, berkata, pengalaman mengundi kali ini jauh berbeza berbanding sebelumnya kerana buat pertama kali beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Sabah.
"Sebelum ini saya pengundi awam, tetapi kali ini saya adalah pengundi awal sebagai anggota tentera yang berkhidmat di Kem Lok Kawi.
"Jadi suasana agak berbeza dan saya kira lebih privasi memandangkan lokasi terletak dalam kem,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut rakannya pula, Preber Muhammad Syazani Md Sapawi, 25, seawal jam 8 pagi, mereka sudah berada di pekarangan pusat pengundian dan segala proses berjalan lancar.
"Selesai saja proses pengundian, kami boleh sambung bertugas semula," katanya.

Sementara itu, Noorfaezah Japar, 27, bersama suaminya, Koperal Mohd Haiqal Ashraf Aludin, 27, turut hadir di pusat pengundian berkenaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal.
"Walaupun kami berasal dari sini, ini kali pertama saya dan suami mengundi di sini selepas berpindah dari Pahang pada tahun 2022.
"Hari ini kami datang seawal jam 9 pagi kerana mahu selesaikan awal sebab ada bawa bayi kami berusia enam bulan dan anak sulung berusia empat tahun.
"Tapi proses mengundi sekejap saja dan lebih mudah," katanya.
Ringkasan AI
- Dua sahabat dari Melaka dan Kelantan mengundi awal di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi
- Pengalaman mengundi sebagai pengundi Sabah berbeza berbanding sebelumnya bagi Prebet Uwais Samsuri
- Pengundian bagi anggota tentera di Kem Lok Kawi memberi privasi lebih
- Proses pengundian berjalan lancar dan membolehkan mereka kembali bertugas selepas mengundi
- Noorfaezah Japar dan suaminya mengundi di sini buat kali pertama selepas berpindah dari Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
