X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia siapkan aplikasi telefon pintar kesan pergerakan individu

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sedang menyediakan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan pergerakan individu dalam usaha mengekang penularan koronavirus (Covid-19), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, aplikasi serupa telah dilancarkan Singapura, yang dirujuk sebagai antara negara yang berjaya membuat pengesanan wabak itu menerusi pengesanan kontak.

"Beberapa hari lepas, Singapura melancarkan aplikasi telefon bimbit bernama 'TraceTogether' yang boleh mengesan pergerakan rakyat mereka supaya apabila berlaku kes positif, mereka boleh melihat sejarah pergerakan dan memberi amaran kepada orang lain berhampiran dengan pesakit untuk membuat ujian (saringan)," katanya ketika menjadi moderator forum dalam talian di Facebook rasmi MOSTI hari ini.

Forum bertajuk ‘Penyesuaian Terhadap Cabaran Covid-19’ itu disertai tiga ahli panel yang merupakan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (pakar epidemiologi); Prof Dr Shamala Devi Sekaran (pakar imunologi dan virologi); dan Prof Dr Mahendhiran Sanggaran Nair (data sains dan statistik).

Dilancarkan pada 20 Mac lepas, aplikasi TraceTogether boleh mengesan individu yang berada dalam jarak dua meter daripada pesakit Covid-19 sekurang-kurangnya selama 30 minit, menggunakan teknologi isyarat Bluetooth.

Pembangun aplikasi itu berkata, ia berguna apabila mereka yang dijangkiti tidak ingat siapa yang mereka berhubung rapat untuk tempoh tertentu.

Sementara itu, Mahendhiran berkata pelaksanaan aplikasi seperti itu perlu selaras dengan peraturan yang berkesan selain mendidik orang ramai mengenai pentingnya penggunaan teknologi dan data dalam industri kesihatan.

“Ia mengenai mendidik penduduk tentang bagaimana data digunakan, banyak kesedaran, dan mempunyai rangka kerja pengawalseliaan mengenai siapa yang melihat dan menggunakan data, dalam keadaan apa,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!