Memperkukuh pertahanan nasional melalui literasi maklumat

Trend penyebaran maklumat tanpa semakan fakta amat tinggi, menjadikan berita palsu sukar dikawal. Gambar kecil: Jessica Ong
Trend penyebaran maklumat tanpa semakan fakta amat tinggi, menjadikan berita palsu sukar dikawal. Gambar kecil: Jessica Ong
A
A
A

MASYARAKAT yang celik maklumat merupakan benteng pertama pertahanan negara. Literasi maklumat adalah asas kepada masyarakat yang tangkas, sedar, dan bersedia menghadapi cabaran era siber yang semakin kompleks.

Dalam era digital kontemporari, maklumat tersebar dengan kelajuan yang luar biasa, di mana berita, video, atau kandungan digital lain boleh diakses secara meluas sebelum proses verifikasi yang sewajarnya dilaksanakan, sekaligus meningkatkan risiko disinformasi.

Fenomena ini menimbulkan cabaran yang signifikan bukan sahaja kepada institusi media, tetapi juga terhadap keselamatan dan kestabilan negara secara keseluruhan.

Informasi yang tidak tepat atau disinformasi berpotensi mencipta kekeliruan, memecahbelahkan masyarakat, dan menjejaskan integriti sosial serta kestabilan politik.

Pembinaan masyarakat Madani yang berasaskan literasi maklumat adalah elemen penting dalam pertahanan negara, kerana ia membolehkan rakyat menilai maklumat secara kritikal, bertindak beretika, dan menangkis pengaruh propaganda serta disinformasi.

Literasi maklumat muncul sebagai elemen kritikal dalam menangani ancaman ini. Ia merujuk kepada keupayaan individu untuk mengenal pasti, menilai, dan menggunakan maklumat secara kritikal dan beretika.

Aristotle menyatakan logik dan kaedah deduktif sebagai asas untuk menilai maklumat. Maka, literasi maklumat bukan sahaja membolehkan rakyat membuat keputusan berdasarkan bukti dan fakta, malah mengurangkan impak propaganda dan disinformasi.

Dalam konteks pertahanan negara, masyarakat yang celik maklumat menjadi benteng pertama pertahanan psikologi dan informasi negara. Menurut Avram, Micallef & Menczer (2020) menunjukkan bahawa metrik keterlibatan media sosial (like, share) meningkatkan kerentanan kepada disinformasi menunjukkan bahawa faktor kecerdasan maklumat dan literasi sangat penting.

Dalam konteks pendidikan, teknologi digital menawarkan kelebihan yang ketara dalam memperluas akses pembelajaran, termasuk bagi pelajar berkeperluan khas. Contohnya, perisian “screen reader” membolehkan pelajar bermasalah penglihatan memahami kandungan digital, manakala sari kata dan transkripsi automatik memudahkan pelajar kurang pendengaran mengikuti video pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Aplikasi mudah alih yang direka secara inklusif pula mengintegrasikan maklum balas suara dan sentuhan, menyokong pelajar menghadapi cabaran membaca atau memahami visual.

Menurut Datuk Muhamad Nasir bin Hamzah, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf dan Profesor Adjung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), media berperanan sebagai barisan pertahanan pertama negara.

Dalam ucaptamanya Sempena Bulan Kesedaran Keselamatan Siber baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa media bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai maklumat, tetapi juga sebagai instrumen strategik dalam memastikan integriti maklumat.

Dengan menyampaikan maklumat sahih, menangkis propaganda, dan membina literasi maklumat, media menjadi elemen penting dalam pertahanan negara.

Cabaran industri media, bagaimanapun, amat kompleks. Tekanan politik dan ekonomi berpotensi mendorong penghasilan kandungan sensasi, manakala persaingan daripada wartawan tidak berlesen dan pencipta kandungan yang tidak beretika menambahkan lagi tekanan terhadap media arus perdana.

Keadaan ini mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap media tradisional dan memperluas ruang bagi penyebaran disinformasi secara pesat.

Data terkini menunjukkan hampir 31 juta rakyat Malaysia menggunakan internet, iaitu sekitar 95 peratus daripada populasi, dan 27 juta daripadanya aktif di media sosial, termasuk platform popular seperti Facebook, TikTok, Instagram, dan WhatsApp.

Trend penyebaran maklumat tanpa semakan fakta amat tinggi, menjadikan berita palsu sukar dikawal. Kajian MCMC dan CyberSecurity Malaysia (2023–2024) mendapati lebih 60 peratus rakyat terdedah kepada maklumat tidak sahih di media sosial, dengan isu paling mudah dimanipulasi termasuk politik, agama, sosial, dan isu nasional.

Akibatnya, hanya sekitar 40 peratus rakyat masih mempercayai laporan daripada media tradisional. Isu seperti penyebaran berita palsu semasa pilihan raya, krisis kesihatan, bencana alam, dan isu sosial yang menggambarkan bagaimana maklumat yang tidak tepat boleh mempengaruhi persepsi masyarakat serta memandu tindakan dan reaksi kolektif.

Tambahan pula, ancaman siber daripada pihak luar melalui propaganda digital menjadi cabaran yang semakin serius terhadap keselamatan nasional.

Pelaburan dalam penyelidikan teknologi baharu amat penting, terutama untuk menilai potensi aplikasi AI lanjutan dan realiti maya (VR) dalam sektor pendidikan. Dasar penggunaan media sosial di kalangan pelajar perlu berasaskan pembentukan nilai, etika digital, dan pembangunan adab, bukan sekadar pendekatan sekatan atau penalti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan perlunya pertimbangan had umur pengguna media sosial di sekolah, misalnya antara 14 hingga 16 tahun, selaras dengan amalan beberapa negara lain.

Beliau turut menegaskan bahawa isu yang timbul tidak hanya berkaitan media sosial, tetapi juga melibatkan permainan dalam talian, aktiviti perjudian, dan ancaman pedofil yang boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan psikososial pelajar.

Pendekatan bersepadu yang melibatkan guru, pereka teknologi, dan pelajar sendiri amat diperlukan bagi pembangunan aplikasi dan platform pembelajaran yang inklusif.

Bagi memastikan generasi muda mampu menghadapi cabaran era digital, beberapa cadangan strategik perlu diberi penekanan.

Pertama, pendidikan literasi maklumat perlu diintegrasikan secara sistematik di sekolah dan institusi pengajian tinggi, termasuk kemahiran mengenal pasti sumber sahih, menilai kandungan secara kritikal, dan mengamalkan etika digital.

Kedua, peranan media tradisional dan kerajaan amat penting dalam menyebarkan maklumat sahih dan boleh dipercayai, di samping strategi komunikasi yang jelas bagi memastikan masyarakat menerima informasi yang tepat dan seimbang.

Ketiga, penubuhan Pusat Komunikasi Literasi Maklumat Malaysia perlu diwujudkan sebagai mekanisme penyelarasan mesej rasmi antara agensi kerajaan, bagi mengelakkan pertindihan kenyataan dan meningkatkan kecekapan respons semasa krisis.

Kerjasama antara media dan institusi pertahanan memastikan rakyat mendapat informasi sahih, sekaligus membina masyarakat bijak, bertanggungjawab, dan berdaya tahan.

Literasi maklumat bukan sahaja membina masyarakat yang berpengetahuan dan berfikir kritis, tetapi juga memperkukuh daya tahan negara terhadap ancaman digital dan propaganda.

Akhirnya, pertahanan negara bukan sekadar tanggungjawab tentera atau polisi, tetapi melibatkan setiap individu yang mampu menilai dan menggunakan maklumat secara kritikal.

* Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw FCILT ialah Felow Akademi Kenegaraan Malaysia Pejabat Perdana Menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!