Jack Ma, Alibaba Foundation sumbang bekalan bantuan

Jack Ma
Jack Ma
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebahagian besar alatan perubatan penting yang didermakan kepada Malaysia Jack Ma Foundation dan Alibaba Foundation untuk membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan di negara ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dipertanggungjawabkan untuk mengedarkan bekalan tersebut yang terdiri daripada topeng muka, kit ujian, sut perlindungan dan pelindung muka di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus menerima sumbangan daripada dua yayasan itu yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow.

Kedua-dua yayasan itu dalam satu kenyataan berkata, penghantaran tersebut sebahagian daripada inisiatif sumbangan yang dijanjikan pada 19 Mac ke empat negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Empat negara itu secara kolektif akan menerima sejumlah dua juta topeng muka, kit ujian bagi menguji 150,000 orang, 20,000 sut perlindungan dan 20,000 pelindung muka,” kata kedua-dua yayasan itu.

Sementara itu, Electronic World Trade Platform (eWTP), inisiatif yang diwujudkan oleh Alibaba bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan halangan yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam dagangan dalam talian global mereka, memudahkan pengedaran bekalan bantuan Covid-19.

Setiausaha Agungnya, James Song, berkata, “Meskipun cabaran untuk mengangkut bekalan perubatan disebabkan pandemik itu, kami memanfaatkan kekuatan hab eWTP untuk melakukan sepantas mungkin.”

Sumbangan itu adalah antara sebahagian daripada inisiatif bantuan Alibaba Foundation dan Jack Ma Foundation untuk menyokong negara-negara di dunia yang paling terjejas dengan krisis Covid-19.

Inisiatif itu termasuklah menyumberkan dan menghantar pelbagai jenis bekalan perubatan ke China, Asia Tenggara, Amerika Syarikat, Afrika, Itali, Belgium, Perancis, Slovenia, Sepanyol dan Amerika Latin.
Artikel Berkaitan:


Selain daripada itu, yayasan tersebut juga membiayai penyelidikan dan pembangunan pilihan rawatan COVID-19 di China, di Peter Doherty Institute for Infection and Immunity (Australia) dan Columbia University (Amerika Syarikat).- Bernama