Juruteknik diperintah bela diri tunjuk 'anu' pada pelajar sekolah

SEREMBAN - Seorang juruteknik diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun 6 bulan di perhentian bas sekolah.
Hakim, Datin Surita Budin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, K.Jason Joshua, 31, di akhir kes pendakwaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar keterangan saksi pihak pendakwaan dan mendengar hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak berdasarkan penilaian yang menyeluruh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menunjukkan perbuatan tidak senonoh ke atas kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun 6 bulan.
Kesalahan terbabit dilakukan lebih kurang jam 4.15 petang di perhentian bas sebuah sekolah di Port Dickson pada 25 Oktober 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah memberi tiga pilihan kepada tertuduh untuk membela diri sama ada tertuduh memberi keterangan secara tidak bersumpah, bersumpah atau berdiam diri.
Tertuduh kemudian memilih memberi keterangan secara bersumpah dan peguamnya, Rajindar Singh memaklumkan pihak pembelaan menawarkan tiga saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi.
Ringkasan AI
- Seorang juruteknik di Seremban didakwa menunjukkan kemaluan kepada kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun 6 bulan
- Mahkamah Sesyen memutuskan kes prima facie terhadap tertuduh
- Kejadian berlaku di perhentian bas sekolah di Port Dickson pada 25 Oktober 2023
- Tertuduh menghadapi hukuman maksimum 10 tahun penjara, denda RM20,000, atau kedua-duanya
- Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan membawa tiga saksi pembelaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

