Wabak penyakit tukar gaya kerja

A
A
A

LIPATAN sejarah Malaysia terukir catatan baharu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan rentetan pandemik Koronavirus 2019 (Covid-19).

Semua diarah bekerja di rumah kecuali bidang kritikal.

Rasanya sejak zaman Darurat bermula pada 1948, Malaysia belum pernah alami situasi begini.

Orang ramai berpusu-pusu keluar membuat panic buying. Bagi penulis, kesannya turut dirasa apabila diarahkan bekerja dari rumah. Pada masa yang sama, seorang teman bercerita kepada penulis pengalamannya melakukan telemarketing pada masa PKP.

Laptop tertinggal di rumah dan bekerja menggunakan telefon bimbit. Kekok rasanya.

Penulis merasakan sudah sampai masanya kerajaan memikirkan cara bekerja yang baharu dalam melaksanakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kita sebenarnya memerlukan teknologi data raya (big data) untuk analisis teknologi Artificial Intelligence (kecerdasan buatan) untuk mengenal pasti maklumat peribadi secara terperinci seperti nama, alamat rumah, pejabat, jenis darah, lokasi penyebaran.

Teknologi pengecaman wajah mengikut sistem augmented reality (AR) diperlukan bagi mengintegasikan data ke dalam sistem secara pukal.

Artikel Berkaitan:

Isu yang amat penting sekarang ialah bekerja dari rumah. Jelas sekali PKP telah memberikan definisi dan landskap baharu kepada gaya bekerja di Malaysia.

Ramai yang terperangkap di rumah tanpa membuat persediaan rapi. Semua kerja yang perlu disiapkan tersimpan dalam data pada desktop di pejabat.

Data tersebut tidak tersambung pada telefon bimbit. Bagi yang pintar teknologi, mereka mungkin boleh menyambungkan data berkenaan kepada telefon bimbit atau komputer riba di rumah.

PKP juga mengingatkan majikan tentang keberadaan di pejabat bukan lagi satu isu. Pada 12 Julai tahun lalu, penulis telah mengupas tentang isu teknologi canggih memudahkan proses sesuatu pembinaan, pembuatan, pengilangan atau inovasi berkualiti. Teknologi terkini dianggap penentu kejayaan sesebuah organisasi untuk berdaya saing dan meneruskan kelangsungan hidup.

Selama ini, gaya konvensional memerlukan kakitangan kerajaan, swasta atau sektor perkilangan berada di pejabat secara fizikal. Bekerja di rumah sebenarnya memerlukan satu persiapan yang rapi.

Kita perlukan working station yang kondusif jika mahu hasilkan kerja berkualiti.

PKP kini mencabar isu keberadaan di pejabat dan pada masa yang sama, survival sesebuah syarikat swasta perlu diteruskan. Usaha universiti untuk mengambil pelajar baharu perlu diteruskan sekalipun PKP dilaksanakan.

Di sinilah isu keberadaan bukan lagi satu persoalan yang penting, sebaliknya survival sesebuah syarikat mesti diutamakan jika masih mahu kekal lama di pasaran.

Mulai sekarang, kerajaan perlu memulakan inisiatif memperkenalkan skim bekerja dari rumah kerana pandemik seperti Covid-19 mungkin kembali berulang dalam 50 atau 100 tahun akan datang.

ALLAH sebenarnya telah mengajak manusia berfikir menerusi al-Quran Surah At-Taubah [09:105] maksudnya: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka ALLAH dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Kesimpulannya PKP dan Covid-19 jelas memberikan definisi baharu tentang gaya bekerja kepada landskap pekerjaan di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Syarikat yang mahu terus berdaya saing perlu segera bertindak jika mahu kekal lama.

*Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor