ACLE: JDT azam lakar keputusan positif

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) berazam melakar keputusan positif pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Melbourne City FC di Stadium Rectangular Melbourne, pada petang Selasa.
Bagaimanapun, pengendali skuad Harimau Selatan itu Xisco Munoz tetap berwaspada bagi mengharungi cabaran yang bakal diberikan skuad City Blues itu.
"Saya jelaskan kepada setiap pemain bahawa kita perlu berada dalam keadaan bersedia untuk berdepan kelab dari Australia itu.
"Ini kerana pasukan itu dibarisi pemain berbeza berbanding musim lalu malah tidak dinafikan mereka pasukan yang kuat.
"Apa pun, kami hadir ke sana bagi memberikan aksi yang terbaik selain mempamerkan aksi berintensiti tinggi kerana kita tahu mereka juga akan bermain secara agresif," katanya menjelang perlawanan tersebut.
"Justeru, kami perlu memaksimumkan corak permainan kerana apabila bermain di pentas ACLE sudah tentu menuntut aksi yang konsisten dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah. Malah kami perlu memberi tentangan kepada pasukan lawan dan beri persembahan terbaik," katanya.
Sementara itu, Munoz turut mengesahkan tonggak serangan, Arif Aiman Hanapi tidak akan bersama skuad Harimau Selatan itu pada aksi berkenaan kerana masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan yang dialaminya ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya berdepan Nepal, baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut Munoz, pihaknya tetap optimis barisan JDT sedia ada mampu menggalas tugas berdepan lawan yang rata-rata dibarisi pemain berkualiti.
"Memang kita terasa kehilangan Arif (Aiman) dalam skuad JDT dan kita berharap dia akan kembali lebih kuat sebaik pulih daripada kecederaan," katanya.
Ringkasan AI
- Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) berazam melakar keputusan positif pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Melbourne City FC
- Pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz, berwaspada mengharungi cabaran daripada Melbourne City FC
- Pasukan Melbourne City FC dibarisi pemain kuat dan berbeza berbanding musim lalu
- Munoz menegaskan pentingnya mempamerkan aksi berintensiti tinggi dan mengelak kesilapan mudah
- Arif Aiman Hanapi tidak akan bersama skuad JDT kerana masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

