JPNT aktifkan Ops Payung pastikan kelancaran SPM

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengaktifkan Ops Payung bermula pada 13 November lepas di semua daerah di negeri ini untuk memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menduduki peperiksaan itu dengan lancar, esok.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, pusat-pusat peperiksaan alternatif telah diaktifkan dan akan digerakkan sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.
"JPNT telah mengenal pasti tiga calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Peroi yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut setakat jam 9 pagi tadi.
"Mereka akan digerakkan ke asrama SMK Kuala Besut untuk memulakan peperiksaan esok. Hingga kini, tiga orang calon SPM yang terjejas itu akan ditempatkan di asrama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap perancangan telah diatur daripada semua aspek bagi memastikan pelajar dapat mengambil peperiksaan dengan lancar.
"Proses pemindahan akan dilaksanakan apabila banjir berlaku di sekolah, rumah calon SPM atau laluan ke sekolah yang terjejas banjir. Checkpoint telah ditetapkan untuk pelajar berkumpul apabila berlaku bencana," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, calon SPM juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang masa termasuk menjalani pemeriksaan doktor sekiranya mempunyai gejala influenza atau jangkitan lain.
Berdasarkan laman web InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 282 orang daripada 91 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 359 orang daripada 106 keluarga pada 8 malam tadi.
Kesemua mangsa berlindung di sebuah PPS, iaitu SK Kuala Besut, Besut yang dibuka pagi semalam. - Bernama
Ringkasan AI
- JPNT mengaktifkan Ops Payung untuk memastikan calon SPM di Terengganu dapat menduduki peperiksaan dengan lancar
- Pusat peperiksaan alternatif telah diaktifkan sebagai persediaan jika berlaku banjir
- Tiga calon SPM dari SMK Alor Peroi yang berada di PPS akan digerakkan ke asrama SMK Kuala Besut untuk menduduki peperiksaan
- Proses pemindahan calon SPM akan dilaksanakan jika sekolah, rumah calon atau laluan ke sekolah terjejas banjir
- Calon SPM dinasihatkan menjaga keselamatan dan kesihatan diri, termasuk menjalani pemeriksaan doktor jika ada gejala penyakit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
