Abang maut, adik cedera kereta terbabas dan terbalik

JASIN - Seorang lelaki maut, manakala adiknya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 182.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat sini pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, kereta Honda Civic terbabit dipandu adik lelaki mangsa berusia 20 tahun dan dalam perjalanan dari arah Johor menghala ke Melaka.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terbalik di sebelah kiri jalan.
"Akibat kejadian itu, pemandu mengalami kecederaan pada bahagian badan dan tangan dan dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Robert berkata, turut bersama dengan mangsa ialah abang kandungnya berusia 22 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut dan adiknya cedera selepas kereta terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan
- Kereta Honda Civic yang terlibat dalam kemalangan dipandu oleh adik berusia 20 tahun dari Johor ke Melaka
- Kereta terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik
- Pemandu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Melaka
- Abang pemandu berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

