4,000 rakyat Malaysia terjejas banjir di Hatyai dilapor selamat

SHAH ALAM - Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir di Hatyai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand dilaporkan selamat kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat.
Bagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik sementara dan kekurangan akses makanan akibat gangguan setempat.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok terus memantau rapat situasi banjir di Hatyai dan beberapa daerah berdekatan itu.
"Konsulat Jeneral di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasinya bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan.
“Konsulat Jeneral juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel dan kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas," kata kenyataan itu pada Sabtu malam.
Menurut kenyataan itu, Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang aktif menguruskan keadaan.
Jelas kenyataan itu, keadaan cuaca dijangka bertambah baik, dengan hujan lebat diramalkan berhenti pada Ahad dan paras air banjir dijangka surut serta keadaan keseluruhan dijangka pulih menjelang Isnin.
“Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan sekitarnya supaya kekal berada di dalam bangunan jika boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati di kawasan terjejas banjir.
“Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok turut digesa berbuat demikian,” kata kenyataan itu.
Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66 74) 311 062 bagi pertanyaan umum, +(66 74) 316 274 atau +(66 81) 990 1930 untuk kecemasan dan +(66 74) 324 004 atau 312 353 untuk bantuan tambahan atau e-mel ke mwsongkhla@kln.gov.my.
Mereka juga boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di +66-2340-5720 bagi urusan umum, +66-2340-5731 atau 5732 bagi urusan konsul pada waktu pejabat, +66-87-028-4659 untuk kecemasan pada hujung minggu dan cuti umum, +66-2340-5721 sebagai talian tambahan atau e-mel ke mwbangkok@kln.gov.my.
Terdahulu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada Sabtu menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.
Ringkasan AI
- Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan Songkhla, Thailand selamat kerana menginap di hotel bertingkat
- Sesetengah mengalami gangguan bekalan elektrik dan kekurangan akses makanan
- Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar di Bangkok memantau situasi dan membantu yang terjejas
- Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa sedang menguruskan keadaan
- Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan itu supaya kekal di dalam bangunan dan mematuhi arahan pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

