Banjir: Rakyat Malaysia disaran tangguh perjalanan ke selatan Thailand - Konsulat

Lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan yang lebih selamat.- Foto: Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand
Lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan yang lebih selamat.- Foto: Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand
A
A
A

 

SONGKHLA - [DIKEMAS KINI] Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada Sabtu menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

"Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong atau melawat selatan Thailand supaya menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu ekoran cuaca buruk, hujan lebat berterusan serta banjir yang menjejaskan banyak kawasan,” katanya.

Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di selatan Thailand agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti pengumuman serta arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa dan menjaga keselamatan diri.

Beliau berkata, untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sitthipong Sitthiprapha berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel-hotel sekitar Songkhla akibat jalan raya yang dinaiki air.

"Sejak malam tadi, lebih 4,000 pelancong Malaysia terkandas… mereka terdiri daripada mereka yang ingin pulang ke Malaysia melalui Sadao tetapi jalan utama dari Hatyai ke Sadao terputus kerana banjir, serta mereka yang terkandas di hotel akibat pekan Hatyai dinaiki air,” katanya.

Sitthipong berkata, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan dan bot bagi memindahkan mereka yang terkandas ke kawasan selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah kenderaan milik pelancong Malaysia yang ditenggelami air masih belum dapat dipastikan, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Selain itu, hujan yang berterusan sejak Isnin lepas telah menyebabkan lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan yang lebih selamat. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menggesa rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand akibat banjir
  • Banjir disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan di kebanyakan wilayah selatan Thailand
  • Rakyat Malaysia di selatan Thailand disarankan untuk sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa
  • Terdapat kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di Songkhla kerana banjir memutuskan akses jalan dan merendam pekan Hatyai
  • Langkah segera termasuk penyediaan makanan dan bot untuk memindahkan mereka yang terkandas ke kawasan selamat telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!