'Kami dah dapat bantuan, maaf atas kesulitan' - Wanita terkandas banjir di Hatyai

SHAH ALAM - Wanita Malaysia yang sebelum ini merayu pertolongan selepas terkandas bersama keluarga akibat banjir di Hatyai, Thailand sudah menerima bantuan susu formula, lampin pakai buang dan makanan yang diperlukan.
Lily Suraini dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu berkata, bantuan diperoleh setelah ramai individu tampil menghulurkan sumbangan sejurus perkongsiannya tular di media sosial.
“Terima kasih kepada hamba ALLAH yang sangat ramai membantu kami. Tak dapat nak sebut (nama siapa yang bantu) sebab ramai sangat. Saya juga dah dapat cas semula telefon saya," katanya.
Lily turut memohon maaf atas segala kesukaran yang timbul susulan rayuan untuk mendapatkan bantuan yang dibuatnya itu.
"Saya memohon maaf atas segala kesulitan ini. Saya tidak jangka perkara ini berlaku. Saya minta maaf kepada seluruh laman Facebook di Malaysia, Thailand dan pihak berkuasa tempatan yang didesak oleh netizen untuk membantu saya.
"Ramai yang maki saya sebab menyusahkan orang, kata saya scammer mencari pengikut. Saya mohon maaf atas segalanya dan saya tidak sangka seramai ini akan kongsi status saya.
"Saya akan berhenti untuk kemas kini apa-apa dan menunggu di sini sehingga semuanya baik serta dapat balik ke Malaysia. Saya mohon semua kongsi status ini dan kes tutup," ujarnya.
Lily juga merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mengambil berat dan berusaha membantunya sekeluarga.
Katanya, hanya ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa baik individu yang tampil membantu itu.
Terdahulu, Lily sekeluarga dilaporkan terperangkap di sebuah hotel di Hatyai selepas daerah berkenaan dilanda banjir besar semalam akibat hujan berterusan.
Menerusi hantaran di Facebook, dia meminta bantuan kedutaan dan orang ramai termasuk untuk mendapatkan bekalan susu serta lampin pakai buang dua anaknya yang berusia dua dan empat tahun.
Dia dan keluarganya terperangkap dalam hotel selepas bekalan elektrik terpadam dan bateri telefon juga hampir habis.
Ringkasan AI
- Wanita Malaysia terkandas bersama keluarga di Hatyai akibat banjir menerima bantuan susu formula, lampin pakai buang dan makanan
- Bantuan diperoleh selepas perkongsian di media sosial menjadi tular
- Lily Suraini meminta maaf atas kesulitan yang diakibatkan oleh rayuannya untuk mendapatkan bantuan
- Netizen sebelumnya mengkritik Lily, menganggapnya sebagai scammer yang mencari perhatian
- Lily dan keluarganya terperangkap dalam hotel di Hatyai selepas daerah itu dilanda banjir besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

