'Tolong kami, susu anak hampir habis' - Rakyat Malaysia terkandas banjir di Hatyai

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di Hatyai dilanda banjir. Gambar kiri: Bayi sembilan bulan dan anak Wan Asyikin yang berusia 5 tahun. Foto tular
Hujan lebat berterusan sejak Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di Hatyai dilanda banjir. Gambar kiri: Bayi sembilan bulan dan anak Wan Asyikin yang berusia 5 tahun. Foto tular
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Hujan lebat berterusan sejak Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di Hatyai, Thailand dilanda banjir kilat sekali gus menyebabkan ratusan rakyat Malaysia terkandas.

Salah seorang mangsa, Wan Nur Asyikin Wan Azmi, 33, berkata, pada mulanya tiba di Hatyai petang Jumaat dalam keadaan cuaca baik.

Bagaimanapun, air mula naik seawal jam 3 pagi setelah hujan berterusan dan dalam masa pantas, seluruh bandar di Hatyai dinaiki air.

"Lebih membimbangkan tiada premis terutama menjual makanan dibuka.

"Apa yang merisaukan adalah keperluan makanan, susu dan lampin pakai buang untuk keperluan anak, Nadhif Alfian Khairul Anwar, 9 bulan akan kehabisan sekiranya banjir tidak surut dan tiada sebarang bantuan disalurkan," katanya.

Kejadian itu menyebabkan mereka semakin cemas akibat pergerakan terhad dan terpaksa berdiam diri di bilik hotel.

Turut sama berada bersamanya, ialah suami dan anak sulung mereka, Ifti Liyana, 5, di mana mereka merancang bercuti di Hatyai selama tiga hari dua malam.

Wan Nur Asyikin turut mengharapkan ada pihak yang tampil membantu menyalurkan bantuan dalam masa terdekat dan memindahkan keluarganya ke tempat yang lebih selamat.

Difahamkan, banjir di Hatyai turut menjejaskan kawasan sempadan seperti Danok dan Bukit Kayu Hitam.

Artikel Berkaitan:

Ramai pelancong dan pemandu kenderaan terpaksa menunggu berjam-jam selepas pihak berkuasa Thailand menghadkan pergerakan masuk demi keselamatan susulan paras air meningkat di beberapa laluan utama menuju ke pusat bandar itu.

Ringkasan AI

  • Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan banjir kilat di Hatyai, Thailand
  • Ratusan rakyat Malaysia terkandas akibat banjir
  • Kekurangan akses kepada makanan dan keperluan asas seperti susu dan lampin pakai buang
  • Mangsa banjir termasuk keluarga Wan Nur Asyikin merancang bercuti di Hatyai selama tiga hari dua malam
  • Banjir juga menjejaskan kawasan sempadan seperti Danok dan Bukit Kayu Hitam, menyebabkan pergerakan masuk dikhadkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!