159 tawaran PN 'Kasi Bagus Sabah' - Muhyiddin

PUTATAN - Perikatan Nasional (PN) Sabah akan melaksanakan 12 tunjang utama pembangunan negeri merangkumi 159 tawaran kepada rakyat sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran PN ‘Kasi Bagus Sabah’ dirangka secara teliti dengan mengambil kira semua aspek kehidupan rakyat, memahami keperluan setiap segmen masyarakat dan menilai kekuatan yang dimiliki negeri ini.
"Tawaran ini menggambarkan komitmen tidak berbelah bahagi PN untuk membela nasib rakyat dan memajukan Sabah. Kita mahu kasi bagus Sabah sekiranya diberi mandat untuk menjadi kerajaan negeri dalam PRN kali ini.
"PN akan melaksanakan 12 tunjang utama pembangungan negeri Sabah dengan 159 tawaran yang merangkumi kasi bagus hak Sabah, kasi bagus tadbir urus Sabah, kasi bagus infrastuktur Sabah dan kasi bagus ekonomi Sabah.
"Selain itu, PN juga menawarkan kasi bagus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah, kasi bagus kesejahteraan rakyat Sabah, kasi bagus anak muda Sabah, kasi bagus wanita Sabah, kasi bagus pendidikan Sabah, kasi bagus warga emas Sabah, kasi bagus kelestarian Sabah dan kasi bagus keselamatan Sabah," katanya semasa melancarkan tawaran PN Kasi Bagus Sabah, di Dataran Pomoi, di sini, pada malam Jumaat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan bahawa tawaran PN Kasi Bagus Sabah merupakan tawaran yang realistik, pragmatik dan boleh dilaksanakan.
"Berbekalkan pengalaman, kepakaran, dan komitmen tinggi bakal kepimpinan kerajaan negeri dari parti PN, kami yakin bahawa semua tawaran ini dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan telus untuk manfaat seluruh rakyat Sabah.
"Insya-ALLAH, dengan sokongan padu daripada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang, PN yakin dapat meraih kemenangan besar dalam PRN17," katanya.
Sementara itu, ditanya pemberita mengenai bagaimana tawaran yang melibatkan pendidikan, keselamatan dan kesihatan dapat direalisasikan sedangkan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa peranan bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah penting.
"Ya, kita tekankan soal isu keselamatan untuk rakyat Sabah. Memang ada peranan kerajaan Persekutuan tapi kerajaan negeri pun sama-sama boleh bantu. Yang saya sebut tadi komitmen untuk kerajaan negeri.
"Saya tahu dulu pun kita tahu isu-isu yang ada Persekutuan, isu yang ada negeri, tapi usaha sama yang harus dilakukan untuk meningkatkan keselamatan negeri Sabah itu amat penting.
"Sebab Sabah mungkin pesisir pantai yang agak panjang berhampiran dengan negara jiran, ada isu-isu keselamatan tertentu. Jadi sebab itu kita tekankan perkara itu bahawa kita faham dan kita nak jaga supaya rakyat Sabah jangan terjejas dengan kes-kes yang kita tahulah rompakan, lanun, soal keselamatan, sebab itu saya sebutkan itu," ujarnya.
Ringkasan AI
- PN Sabah akan melaksanakan 12 tunjang utama dan 159 tawaran kepada rakyat Sabah jika diberi mandat dalam PRN17
- Tawaran "Kasi Bagus Sabah" bertujuan memperbaiki semua aspek kehidupan rakyat
- Mencakupi peningkatan hak Sabah, tadbir urus, infrastruktur, ekonomi, kesejahteraan rakyat, pendidikan, dan keselamatan
- Ditekankan pendekatan pragmatik dan realistik dengan komitmen tinggi dari kepimpinan PN
- Kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipandang penting untuk isu pendidikan, keselamatan, dan kesihatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
