[VIDEO] Pok We guna 102 tong apungkan 'rumah rakit'

A
A
A

KEMAMAN – Seorang warga emas yang membina rumah kayu di atas tong plastik di Kampung Tebak, Jalan Air Putih di sini, masih menaruh harapan rumahnya itu kekal terapung dan selamat daripada banjir tahun ini.

A Bakar Che Ahmad, 70, atau lebih mesra dikenali sebagai Pok We dan isterinya, Patimah Salleh, 64, masih setia mendiami kediaman yang digelar “rumahku, rakitku” yang dibina sejak empat tahun lalu.

Pok We menunjukkan antara tong plastik berwarna biru yang diikat di bahagian bawah rumah untuk mengapungkan rumah tersebut.
Pok We menunjukkan antara tong plastik berwarna biru yang diikat di bahagian bawah rumah untuk mengapungkan rumah tersebut.

Menurutnya, struktur rumah berkeluasan kira-kira 70 kaki persegi itu akan diapungkan sekali lagi tahun ini menggunakan 102 buah tong plastik.

“Untuk tahun ini, seperti biasa, kita yakin dengan izin ALLAH rumah ini selamat. Tahun 2022 pun ALLAH selamatkan, tak tenggelam. Tahun berikutnya pun selamat.

“Disebabkan ada pertambahan barang dalam rumah, jadi kita terpaksa tambah tong sedikit demi sedikit. Dari awalnya hanya 69 tong, sekarang sudah jadi 102 tong,” ujarnya.

Pok We menunjukkan antara tong plastik berwarna biru yang diikat di bahagian bawah rumah untuk mengapungkan rumah tersebut.
Pok We menunjukkan antara tong plastik berwarna biru yang diikat di bahagian bawah rumah untuk mengapungkan rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

A Bakar yang kini uzur berkata, setiap tahun sebelum musim banjir, dia akan melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tong plastik yang digunakan berada dalam keadaan baik dan tidak bocor.

“Setiap kali sebelum banjir, saya akan periksa semua tong bagi memastikan ia tidak bocor dan tali pengikat rumah pada tiang dalam keadaan baik supaya rumah tidak dihanyutkan arus deras.

“Rumah ini direka khas mengikut paras air dan akan terangkat sendiri apabila banjir melanda. Bila air naik, ia naik. Tiada masalah goyang atau tenggelam.

“Yang penting tali yang mengikatnya kukuh dan kita ikat elok-elok. Dinding bahagian luar rumah juga dibina menggunakan kaedah pasak supaya lebih kukuh,” tambahnya.

Mengenai idea membina rumah rakit itu, dia berkata, ia tercetus hasil cadangan anaknya pada tahun 2022.

“Masa tu anak saya tanya, ‘Ayah boleh ke buat rumah rakit?’ Dia nak tolong dari segi kos. Jadi bermula dari situ, terhasillah rumah ini dengan belanja keseluruhan kira-kira RM60,000,” ujarnya.

Pok We berdiri di samping rumah rakitnya yang dibina menggunakan hasil usaha dan titik peluhnya sendiri.
Pok We berdiri di samping rumah rakitnya yang dibina menggunakan hasil usaha dan titik peluhnya sendiri.

Bapa kepada tujuh orang anak itu berkata, pada peringkat awal pembinaan, ada pihak yang meragui kemampuan rumah tersebut untuk terapung dan bimbang ia hanyut ke laut sekiranya berlaku banjir besar.

“Macam-macam orang kata… tapi kita biarkan sahaja. Kita bina rumah ini dengan doa supaya berjaya.

“Saya berani juga bina rumah ini kerana terkesan dengan banjir pada tahun 2012. Waktu tu banjir paling besar, banyak rumah rosak kerana air naik sampai 4.8 meter.

“Cabaran masa buat rumah ini memang besar sebab saya dirikan seorang diri,” jelasnya.

Tambahnya, keunikan rumah rakit itu turut menarik perhatian penduduk dari luar termasuk dari Manir, Kuala Terengganu dan kawasan Air Putih yang datang untuk belajar membina struktur serupa bagi menyelamatkan barangan ketika banjir.

“Ada orang dari Manir tu datang enam kali ke rumah ini semata-mata untuk belajar daripada saya cara-cara buat rumah rakit.

“Seorang lagi dari Air Putih, dia minta saya tunjuk cara bina rumah ini kerana mahu bina tempat simpan barang untuk selamatkan barang berharga di rumahnya,” katanya.

Walaupun struktur rumah rakit itu mendapat perhatian ramai, Pok We tetap menganggap ia sekadar usaha ikhtiar bagi menyelamatkan kediaman mereka setiap kali tiba musim tengkujuh.

“Kita hanya usaha. Yang menentukan semuanya ALLAH. Selagi boleh ikhtiar, kita ikhtiar,” katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang warga emas di Kampung Tebak, Kemaman membangun rumah kayu terapung dengan tong plastik untuk mengelak banjir
  • Rumah yang dibina empat tahun lalu itu kini menggunakan 102 buah tong plastik akibat pertambahan barang
  • A Bakar melakukan pemeriksaan menyeluruh sebelum musim banjir untuk memastikan keselamatan rumah rakitnya
  • Idea pembinaan rumah terapung tercetus dari cadangan anaknya dan keseluruhan kos pembinaan adalah kira-kira RM60,000
  • Rumah unik ini menarik perhatian penduduk dari luar daerah yang datang belajar cara pembinaannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!