KPN tiada perancangan bina Muzium Perang Force 136 di Gerik

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) ketika ini tidak bercadang untuk membina Muzium Perang Force 136 atau Muzium Darurat Menentang Komunis (PKM) dalam Parlimen Gerik.
Timbalan Menterinya, K Saraswathy berkata, sebarang cadangan penubuhan muzium baharu perlu terlebih dahulu dikaji secara komprehensif memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi.
“Namun untuk makluman Yang Berhormat, sejarah darurat pernah diketengahkan di Muzium Perak, Taiping menerusi penganjuran ‘Pameran Malaysia Era Perang Dunia Kedua’ yang diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun 2023.
“Malah, peristiwa darurat juga merupakan salah satu segmen pameran kekal yang dipamerkan di Muzium Negara.
“Selain itu, peristiwa darurat termasuk peranan Force 136 juga dipamerkan di muzium-muzium sedia ada yang lain, misalnya Muzium Tentera Darat Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan dan Muzium Kepolisan serta Muzium Bukit Kepong di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN–Gerik) yang memintanya menyatakan sama ada KPN boleh mempertimbangkan untuk membina sebuah Muzium Perang Force 136 dan Muzium Darurat Menentang Komunis di kawasan bersejarah dalam Parlimen Gerik bagi memperingati sejarah dan perjuangan serta sebagai tarikan pelancongan dan sumber pendidikan sejarah kepada masyarakat.
Saraswathy pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada Fathul Huzir atas keprihatinan beliau terhadap sejarah bangsa dan tanah air menerusi penubuhan muzium.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara tidak bercadang untuk membina Muzium Perang Force 136 atau Muzium Darurat Menentang Komunis dalam Parlimen Gerik
- Cadangan penubuhan muzium baharu perlu dikaji secara komprehensif kerana melibatkan kos yang tinggi
- Sejarah darurat pernah diketengahkan di Muzium Perak, Taiping menerusi penganjuran Pameran Malaysia Era Perang Dunia Kedua pada tahun 2023
- Peristiwa darurat merupakan salah satu segmen pameran kekal yang dipamerkan di Muzium Negara
- Peristiwa darurat termasuk peranan Force 136 juga dipamerkan di muzium-muzium sedia ada seperti Muzium Tentera Darat Malaysia dan Muzium Kepolisan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

