Berang anjing diracun, lelaki bunuh jiran

JAKARTA - Seorang lelaki di Daerah Sambas, Kalimantan Barat, ditahan polis selepas disyaki membunuh jirannya sendiri akibat didorong rasa marah selepas anjing kesayangannya diracun oleh mangsa.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Sambas, AKBP Wahyu Jati Wibowo, suspek yang dikenali sebagai TH mengaku menggunakan senapang angin dan sebilah parang dalam serangan tersebut.
“Perbuatan itu didorong oleh rasa marah suspek selepas anjing miliknya mati akibat racun yang didakwa diberikan oleh mangsa,” katanya kepada wartawan baru-baru ini.
Mayat mangsa, AA, 44 tahun, ditemukan di dalam parit di Kampung Jelutung, Daerah Pemangkat pada 30 Oktober. Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan serius.
Susulan penemuan itu, polis menjalankan siasatan rapi termasuk pemeriksaan tempat kejadian, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik serta pengumpulan keterangan daripada saksi-saksi.
Pada 14 November 2025, pasukan polis berjaya menahan suspek di kediamannya. Suspek dan barang bukti kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sambas untuk tindakan lanjut.
Polis Sambas menyeru orang ramai supaya kekal tenang dan menyerahkan urusan kes ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Kalimantan Barat ditahan kerana membunuh jirannya gara-gara anjingnya diracun
- Menggunakan senapang angin dan parang dalam serangan
- Rasa marah kerana racun membunuh anjingnya mendorong perbuatan tersebut
- Mayat mangsa ditemukan dalam parit dengan kecederaan serius
- Polis menahan suspek dan menyita barang bukti untuk siasatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

