'Jangan tinggal kerja tetap demi emas' - Exco

Penduduk diingatkan utamakan keselamatan diri elak risiko kepala air dan arus deras. Foto dijana oleh AI
Penduduk diingatkan utamakan keselamatan diri elak risiko kepala air dan arus deras. Foto dijana oleh AI
A
A
A

KOTA BHARU - Orang ramai perlu membuat pertimbangan matang jika mahu bergelar pendulang emas kerana ia memerlukan masa, tenaga, ilmu serta sanggup menghadapi cabaran.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Rohani Ibrahim berkata, sekiranya sudah ada pekerjaan tetap, mereka tidak perlu meninggalkan rezeki yang ada.

“Jangan pula semua pakat tinggal kerja dan pergi mendulang emas.

“Bukan mudah hendak dapat emas, untuk kerja sampingan mungkin boleh,” katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska 2025 di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Ujar Rohani, kerajaan negeri tidak menghalang aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat.

“Cuma, sentiasa patuh nasihat pihak berkuasa terutama sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini,” katanya.

Terdahulu, aktiviti mendulang emas mendapat perhatian selepas kerajaan negeri membenarkan rakyat menjalankan aktiviti tersebut sehingga timbul desas-desus ada individu mahu meninggalkan pekerjaan tetap dan menjadi pendulang emas.

Dalam pada itu, Rohani turut mengingatkan orang ramai berwaspada ketika menjalankan aktiviti mendulang emas di sungai menjelang musim tengkujuh susulan risiko arus deras dan kepala air.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, keadaan cuaca tidak menentu menjadikan aktiviti mendapatkan wang sampingan dengan mendulang emas bertukar berbahaya.

“Kami faham mendulang emas sudah menjadi kebiasaan penduduk.

“Tetapi ketika musim tengkujuh, perlu lebih berhati-hati termasuk bagi mereka yang baru mencuba aktiviti ini,” katanya.

Katanya, pengalaman banjir tahun sebelumnya menunjukkan pedalaman Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai berisiko tinggi mengalami aliran deras secara mengejut terutama di beberapa lokasi mendulang emas.

 

 

Ringkasan AI

  • Orang ramai perlu pertimbangan matang sebelum menjadi pendulang emas kerana memerlukan masa, tenaga dan ilmu
  • Datuk Rohani Ibrahim menyarankan agar tidak meninggalkan pekerjaan tetap demi mendulang emas dan menganggapnya sebagai kerja sampingan
  • Kerajaan negeri tidak menghalang aktiviti ekonomi termasuk mendulang emas tetapi menekankan patuh kepada nasihat pihak berkuasa
  • Peringatan tentang risiko keselamatan ketika mendulang emas di sungai terutama menjelang musim tengkujuh
  • Cuaca tidak menentu dan risiko arus deras boleh menjadikan aktiviti mendulang emas bertukar menjadi berbahaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!