MP Ketereh kesal pegawai risik didakwa bocor maklumat tentera tidak dibantu

KHLIR
KHLIR
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan (MINDEF) digesa agar memberikan bantuan sewajarnya kepada dua pegawai risik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa menjual maklumat taktikal keselamatan negara, memandangkan mereka hanya disyaki terlibat dalam kesalahan tersebut.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berkata, sehingga kini kedua-dua pegawai berkenaan masih belum dituduh di mahkamah, meskipun telah empat bulan berlalu sejak kes itu didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga memberi kesan emosi kepada keluarga mereka.

Menurutnya, isu berkenaan telah beberapa kali dibangkitkan beliau di Parlimen, namun kebanyakan jawapan yang diberikan tidak menepati soalan yang dikemukakan.

“Sebagai contoh, soalan terbaharu yang saya bangkitkan mengenai bentuk bantuan atau pembelaan yang telah diberikan kepada dua pegawai risik tersebut, namun jawapan menteri sekali lagi tidak menjawab secara jelas.

“Kenyataan MINDEF bahawa kedua-dua pegawai berkenaan diberikan hak untuk mendapatkan khidmat guaman dan pembelaan sewajarnya adalah tidak mencukupi. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah mereka diberikan bantuan guaman melalui MINDEF, bukannya mengeluarkan belanja sendiri seperti yang saya difahamkan oleh keluarga mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada 15 Oktober lalu memaklumkan bahawa lima pegawai kanan ATM yang ditahan oleh SPRM kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup telah dikecualikan daripada sebarang operasi.

Beliau berkata, mereka kini ditempatkan di markas pentadbiran masing-masing sementara siasatan kes itu dijalankan oleh ATM bersama pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Khlir yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat berkata, adalah tidak wajar untuk MINDEF bersikap lepas tangan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan memandangkan mereka belum dibuktikan bersalah.

Malah katanya, kementerian juga seharusnya memainkan peranan dengan meminta SPRM mempercepatkan siasatan kes tersebut bagi membolehkan semua pihak mengetahui dengan jelas perkara sebenar di sebalik tuduhan terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan maklumat, kedua-dua pegawai berkenaan disyaki terlibat membocorkan maklumat sejak 2020. Jadi, sudah pasti pihak SPRM mempunyai bukti untuk membuat pertuduhan tetapi sehingga kini, empat bulan telah berlalu masih belum ada tindakan lanjut.

“Jadi, saya minta MINDEF mengambil tanggungjawab untuk membantu dan membela pegawai terlibat kerana selaku orang yang pernah bekerja dengan mereka, saya yakin kedua-duanya tidak terlibat dengan perbuatan sedemikian,” katanya.

Media pada Ogos lalu melaporkan bahawa SPRM telah menahan lima pegawai kanan ATM selepas disyaki terbabit membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan, seperti dadah.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar turut mengesahkan bahawa sebahagian daripada mereka yang ditahan merupakan anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), dan tempat mereka telah digantikan serta-merta.

Kelima-lima individu itu termasuk seorang berpangkat Leftenan Kolonel ditahan di sekitar Lembah Klang dalam satu operasi khas SPRM yang dinamakan Op Sohor, kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pertahanan digesa memberi bantuan guaman kepada dua pegawai ATM disyaki menjual maklumat keselamatan negara
  • Pegawai tersebut belum dituduh di mahkamah empat bulan selepas kes didedahkan oleh SPRM
  • Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, menyatakan jawapan menteri tidak memuaskan berkaitan bantuan untuk pegawai terlibat
  • Lima pegawai kanan ATM telah dikenakan tindakan dan ditempatkan di markas pentadbiran sementara siasatan berlangsung
  • Khlir mendesak MINDEF bertanggungjawab mendesak SPRM mempercepatkan kes untuk keadilan pegawai terlibat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!