5 baka kucing Thailand diiktiraf, simbol kebangsaan

BANGKOK - Thailand buat pertama kalinya mengiktiraf lima baka kucing tempatan sebagai simbol haiwan peliharaan kebangsaan.
Langkah itu dilihat mampu memelihara identiti budaya negara dan melonjakkan potensi ekonomi berkaitan industri haiwan kesayangan.
Keputusan tersebut dimuktamadkan oleh Kabinet pada Selasa, selepas Jawatankuasa Identiti Nasional mengemukakan syor berdasarkan bukti sejarah dan ciri genetik baka kucing Thailand yang dianggap unik selain tidak terdapat di tempat lain.


Lima baka terbabit ialah Suphalak, Korat, Wichienmas, Konja dan Khao Manee yang mana semuanya mempunyai sejarah panjang dalam tradisi dan cerita rakyat Thailand.
Tidak hanya memiliki rupa fizikal yang tersendiri, sifat 'peramah' menjadikan kucing-kucing berkenaan antara ikon budaya negara.

Pihak berkuasa berkata, pengiktirafan rasmi penting untuk mengelakkan tuntutan hak daripada luar negara, selain membolehkan usaha konservasi dan standardisasi dilakukan secara lebih sistematik.
Minat antarabangsa terhadap kucing Thailand juga meningkat dengan penternak di beberapa negara bersedia mendaftarkan baka tulen dan membangunkan piawaian untuk pertandingan serta pembiakan.

Kementerian Kebudayaan Thailand turut menyifatkan pengiktirafan itu sebagai langkah strategik untuk melindungi warisan negara, sambil membuka peluang dalam sektor pelancongan, industri kreatif dan eksport budaya yang berkaitan kucing tempatan.
Inisiatif tersebut dijangka memberikan nilai tambah kepada imej Thailand di peringkat global, selain memastikan baka kucing tradisional negara terus berkembang pada masa akan datang. - Agensi
Ringkasan AI
- Thailand mengiktiraf lima baka kucing tempatan sebagai simbol haiwan peliharaan kebangsaan
- Keputusan oleh Kabinet berdasarkan bukti sejarah dan ciri genetik unik kucing Thailand
- Lima baka tersebut ialah Suphalak, Korat, Wichienmas, Konja dan Khao Manee yang mempunyai sejarah panjang selain ciri fizikal tersendiri
- Pengiktirafan rasmi bertujuan melindungi hak dan memudahkan konservasi serta standardisasi
- Peningkatan minat antarabangsa terhadap kucing Thailand menyumbang pada potensi ekonomi dan peluang eksport budaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

