MAIDAM sedia bantu asnaf tolak tawaran haji akibat kekangan kewangan

MAIDAM sedia bantu asnaf fakir miskin yang menolak tawaran haji 2026 kerana kekangan kewangan dengan menggunakan dana wakaf, bukan wang zakat. Gambar kecil (Ahmad Azrin)
MAIDAM sedia bantu asnaf fakir miskin yang menolak tawaran haji 2026 kerana kekangan kewangan dengan menggunakan dana wakaf, bukan wang zakat. Gambar kecil (Ahmad Azrin)
A
A
A

KEMAMAN – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersedia membantu golongan asnaf fakir miskin yang terpaksa menolak tawaran mengerjakan haji tahun depan akibat kekangan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada peluang menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

Menurutnya, MAIDAM amat prihatin terhadap peningkatan kos menunaikan haji yang menjadi faktor utama ramai jemaah, khususnya dalam kalangan asnaf, menolak tawaran berkenaan.

“Mana-mana asnaf fakir miskin yang menerima tawaran haji bagi tahun 2026, namun tidak mampu menampung kos perjalanan disarankan tampil memaklumkan perkara itu kepada MAIDAM.

“Kita akan melihat berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan jika mereka benar-benar layak, MAIDAM akan membantu mencukupkan keperluan kewangan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas program agihan zakat EPIC di sini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa bantuan tersebut tidak melibatkan wang zakat dan akan menggunakan peruntukan lain seperti manfaat wakaf.

“Jumlah penerima juga perlu dikenal pasti terlebih dahulu kerana kuota haji ditentukan oleh Tabung Haji (TH) dan perlu diselaraskan secara berperingkat.

“Jadi, bantuan akan diberikan berdasarkan jumlah kekurangan yang perlu ditampung oleh mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, MAIDAM turut merancang untuk memperkenalkan program istimewa melibatkan insentif yang lebih besar kepada asnaf fakir miskin yang mahu memulakan perniagaan dengan sokongan rakan strategik terpilih.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, MAIDAM komited memastikan setiap sen wang yang diterima diagihkan sepenuhnya kepada mereka yang layak berdasarkan keperluan semasa.

“Tahun lalu kita kutip RM276 juta, tetapi agih RM318 juta. Untuk tahun ini, kutipan dijangka mampu mencapai RM300 juta. Apa yang sudah diluluskan akan diagihkan kepada mereka yang layak,” katanya.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, 50 peratus jemaah yang terpilih menunaikan haji tahun ini direkodkan menolak tawaran berkenaan kerana masalah kewangan.

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji direkodkan mempunyai simpanan kurang RM1,300.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pendeposit dengan baki simpanan kurang RM1,300 belum layak menunaikan haji kerana jumlah terbabit tidak mencukupi bagi tujuan tersebut.

Ringkasan AI

  • MAIDAM sedia membantu golongan asnaf fakir miskin untuk menunaikan haji
  • Bantuan tidak melibatkan wang zakat dan menggunakan peruntukan seperti manfaat wakaf
  • Bantuan diberikan berdasarkan kriteria dan kekurangan kewangan yang perlu ditampung
  • MAIDAM merancang memperkenalkan program istimewa untuk asnaf fakir miskin memulakan perniagaan
  • 50 peratus jemaah haji menolak tawaran menunaikan haji akibat masalah kewangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!