KKR kenal pasti 1,572 cerun berisiko tinggi di seluruh negara

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 1,572 cerun berada dalam kategori sangat berisiko tinggi di seluruh negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 34,633 cerun yang telah disenaraikan di sepanjang Jalan Persekutuan berdasarkan data Peta Bahaya dan Risiko Cerun.
“Bagi jalan negeri di Semenanjung Malaysia, pengumpulan data Peta Bahaya dan Risiko Cerun melibatkan 2,100 kilometer panjang jalan bercerun dan telah disiapkan pada Ogos 2025.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) turut mengambil langkah proaktif menghadapi Monsun Timur Laut 2025 hingga 2026, meliputi strategi prabencana, semasa dan pascabencana bagi memastikan Jalan Persekutuan serta cerun sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) berhubung persediaan kementerian untuk menghadapi Monsun Timur Laut dalam memastikan Jalan Persekutuan dan cerun sentiasa dalam keadaan sempurna serta selamat.
Ujar Alexander, cerun yang berisiko tinggi dan sangat tinggi akan diberi perhatian dengan meningkatkan kekerapan rondaan, selain pemeriksaan turut dipertingkatkan.
Menurutnya, pihak JKR Daerah dan JKR Negeri akan melaksanakan kerja-kerja rondaan, pemeriksaan dan pemantauan bagi mengesan tanda-tanda awal kejadian cerun runtuh di kawasan berisiko tinggi.
“Sistem saliran cerun akan dipastikan berada dalam keadaan baik di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.
“JKR turut bersiap siaga menghadapi insiden tanah runtuh dengan melaksanakan tindakan awal seperti pembersihan laluan dan pengalihan sisa runtuhan.
“Selain itu, JKR akan menyediakan pelan pengurusan trafik, jalan lencongan sementara serta perlindungan permukaan cerun menggunakan tarpaulin sheet bagi mengelakkan runtuhan susulan sebelum kerja pembaikan kekal dilaksanakan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya mengenal pasti 1,572 cerun sangat berisiko tinggi di Malaysia
- Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 34,633 cerun yang telah disenaraikan
- Pengumpulan data Peta Bahaya dan Risiko Cerun untuk jalan negeri di Semenanjung telah disiapkan pada Ogos 2025
- JKR mengambil langkah proaktif menghadapi Monsun Timur Laut 2025 hingga 2026
- Cerun berisiko tinggi akan diberi perhatian lebih dengan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

