PDT, Guthrie dan EcoWorld bangunkan taman industri baharu di Kulai

PERMODALAN Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT) bekerjasama dengan SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd (SDGLV) dan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) bagi membangunkan taman perindustrian baharu dikenali sebagai Eco Business Park 8 (EBP8) di Mukim Kulai.
Projek seluas 935.24 ekar itu dijangka dibangunkan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM3.75 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PDT, Datuk Ramlee A Rahman berkata, pembangunan berkenaan mewujudkan ekosistem industri berteknologi tinggi yang mampu menarik syarikat multinasional ke Johor.
"Eco Business Park 8 merupakan antara projek penting di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
"Dengan kedudukan strategik di koridor JS-SEZ di Kulai, pembangunan ini bukan sekadar menyediakan tanah industri, tetapi mewujudkan sebuah ekosistem teknologi tinggi yang bersedia menarik syarikat multinasional melalui insentif serta rangka kerja pelaburan yang ditawarkan," ujarnya
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjanjian Usaha Sama Eco Business Park 8 yang turut disaksikan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, kerjasama dengan rakan industri seperti EcoWorld akan mempercepatkan penglibatan syarikat itu dalam pembangunan industri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah pula yakin EBP8 akan menyumbang kepada kedudukan Johor sebagai hab industri dan inovasi utama di rantau ini.
Pembangunan EBP8 memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), elektrikal dan elektronik termaju, bioteknologi, teknologi perubatan, teknologi makanan dan logistik.
Lokasinya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan dihubungkan Lebuhraya Utara-Selatan dijangka meningkatkan akses kepada pelabur domestik dan antarabangsa.
Ringkasan AI
- PDT bekerjasama dengan SDGLV dan EcoWorld untuk membangunkan Eco Business Park 8 di Mukim Kulai
- Projek luas 935.24 ekar dengan nilai pembangunan RM3.75 bilion, dijangka siap dalam 8-10 tahun
- Eco Business Park 8 bertujuan menarik syarikat multinasional dengan ekosistem industri berteknologi tinggi
- Lokasi strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura memudahkan akses pelabur domestik dan antarabangsa
- Fokus pada sektor berteknologi tinggi termasuk AI, elektronik, bioteknologi, dan logistik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


