MGB Berhad terima projek RM444 juta bangunkan kediaman, komersial di Madinah

PENYEDIA penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah, MGB Berhad (MGB) serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, menerima Surat Penganugerahan (LA) bernilai kira-kira RM444 juta bagi pembangunan kediaman dan komersial di Madinah, Arab Saudi.
MGB melalui syarikat usaha sama miliknya, MGB Alameriah Contracting Company di Arab Saudi telah dipilih oleh Beetah Real Estate Company untuk melaksanakan Projek Pembinaan Kediaman dan Komersial bagi Al-Madinah Al-Munawwarah, yang merangkumi pembinaan pangsapuri di Madinah.
Projek baharu itu melibatkan pembinaan pembangunan kediaman komersial serba lengkap terdiri daripada 440 unit pangsapuri merentasi empat jenis unit berbeza, iaitu A1, A2, B1 dan B2.
Terletak di Bandar Madinah, projek ini dijadualkan siap dalam tempoh 30 bulan, dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada 1 Mac tahun hadapan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San menyifatkan penganugerahan itu sebagai detik membanggakan bagi MGB.
“Pelantikan sebagai kontraktor utama untuk pembangunan berskala besar di Madinah mencerminkan kepercayaan rakan-rakan strategik terhadap keupayaan kami serta kekuatan kepakaran kejuruteraan kami.
“Perkembangan kami daripada pembekal produk konkrit pratuang kepada peneraju projek pembinaan utama menunjukkan ketahanan, pertumbuhan dan dedikasi pasukan kami.
“Kami berasa berbesar hati dapat menyumbang kepada sebuah bandar yang begitu penting dan menantikan peluang untuk memperkukuh kehadiran kami di Arab Saudi, selaras dengan transformasi luar biasa negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut kenyataan MGB, projek itu merupakan satu inisiatif strategik kepada syarikat untuk peluang masa hadapan, yang bermatlamat mencapai sasaran 70 peratus pemilikan rumah menjelang 2030 serta aspirasi untuk berada dalam kelompok 10 teratas Indeks Daya Saing Global.
“Bermula sebagai pengeluar dan pembekal konkrit pratuang, MGB kini berdiri sebagai kontraktor utama bagi pembangunan kediaman-komersial berskala besar di Madinah.
“Kemajuan ini, hasil daripada kesungguhan, kredibiliti dan komitmen terhadap kecemerlangan, menunjukkan kemampuan MGB bertaraf dunia.
“Strategi membina kepercayaan, kebolehpercayaan dan konsistensi di rantau ini telah membuahkan hasil, dan kehadiran MGB kini menjadi komitmen jangka panjang untuk mewujudkan nilai berterusan di Arab Saudi,” ujar kenyataan itu.
Ringkasan AI
- MGB Berhad dan anak syarikat LBS Bina Group Berhad menerima Surat Penganugerahan bernilai RM444 juta untuk pembangunan di Madinah, Arab Saudi
- Proyek ini merangkumi pembangunan kediaman komersial yang terdiri daripada 440 unit pangsapuri
- Terletak di Bandar Madinah, pembinaan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan bermula 1 Mac tahun depan
- Penerimaan projek ini mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan MGB sebagai kontraktor utama di Arab Saudi
- Ini menjadi langkah strategik MGB untuk menyumbang kepada pencapaian sasaran 70 peratus pemilikan rumah di Arab Saudi menjelang 2030
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


