'Pemimpin pribumi perlu bina semula muafakat, jadi dominan' - Noh Omar

SHAH ALAM - Pemimpin politik berteraskan pribumi perlu berikhtiar membina semula muafakat dalam kalangan mereka agar menjadi kelompok dominan yang dapat memimpin negara dengan adil dan berteraskan semangat perpaduan.
Itu antara ketetapan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional (MN) pada Rabu yang membincangkan perkara penting melibatkan kelangsungan perpaduan dan permuafakatan rakyat.
Timbalan Presiden MN, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan ke arah kesatuan dan terus berusaha menyatukan semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu masyarakat sivil (NGI) Pribumi sehingga terbina sebuah gabungan yang kukuh.
“Kesatuan dan Muafakat Pribumi mestilah berteraskan konteks masyarakat majmuk dan perpaduan nasional serta mendokong Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, MN akan memastikan usaha penyatuan dan muafakat di negara ini terus terbela serta dipimpin dengan adil supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih harmoni tanpa sebarang penindasan.
“Selain itu, MN menyokong agar konvensyen khas dianjurkan yang memberi fokus terhadap asas perlembagaan negara khususnya berkaitan perkara menyentuh kedudukan Agama Islam, Raja-Raja, Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera, bahasa Melayu serta hak semua kaum.
“MN mendokong sepenuhnya asas dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan komited menunaikan segala yang terkandung di dalamnya.
“MN mendesak Kerajaan untuk menyemak semula dan tidak meneruskan Penjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia bersama Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan serta menggugat kedaulatan negara,” ujarnya.
Menurut Noh, MN memandang berat isu perpecahan dalam kalangan Pribumi serta umat Islam khasnya dalam konteks politik.
“Pribumi sebagai teras negara perlu memimpin dan ini perlu dimulakan melalui kesatuan dan perpaduan dalam kalangan pribumi merentas pemahaman politik,” kata beliau.
Ringkasan AI
- Pemimpin politik berteraskan pribumi perlu membina semula muafakat untuk menjadi kelompok dominan memimpin negara dengan adil dan berteraskan perpaduan
- Mesyuarat Khas Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional membincangkan perkara penting melibatkan perpaduan dan permuafakatan rakyat
- Timbalan Presiden MN menyatakan komitmen untuk menyatukan parti politik, NGO dan NGI Pribumi menjadi gabungan yang kukuh
- Muafakat Pribumi harus berkonteks masyarakat majmuk, mendokong Perlembagaan dan Rukun Negara
- MN mendesak semakan penjanjian perdagangan dengan AS yang menggugat kedaulatan negara, serta mendokong asas dan perjanjian Malaysia 1963
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

