Kepala patung Soekarno 'terkehel'

INDRAMAYU – Kanopi besar yang digunakan untuk satu majlis rasmi di dataran utama Indramayu runtuh ketika angin kencang melanda kawasan berkenaan, mengakibatkan kerosakan serius pada patung Presiden pertama Indonesia, Soekarno dan Naib Presiden Mohammad Hatta.
Insiden pada 13 November itu menyebabkan kaca mata patung Bung Hatta rosak, manakala bahagian kepala dan leher patung Bung Karno ‘terkehel’ serta condong secara jelas, dipercayai akibat tekanan kuat apabila kanopi besar yang sarat dengan air hujan menghempap struktur tembaga berkenaan.
Menurut Pelaksana Tugas Ketua Bahagian Perumahan dan Pemukiman, Krisdiantoro, kerosakan itu bukan berpunca daripada kecacatan bahan.
Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua patung yang dihasilkan daripada tembaga pada 2023 itu memenuhi spesifikasi, malah bahan tersebut dipilih bagi memudahkan pembentukan wajah tokoh nasional tersebut secara terperinci.
Namun, katanya, kombinasi angin kencang, hujan lebat dan bebanan air di atas kanopi besar menghasilkan tekanan luar jangka yang tidak mampu ditampung oleh struktur patung.
“Ini faktor alam yang tidak dijangka. Kanopi besar itu tinggi dan berat. Apabila ia runtuh, seluruh tekanannya tertumpu pada bahagian kepala patung,” katanya.
Insiden ini turut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat tempatan kerana kanopi besar itu tidak dibuka selepas majlis penyerahan surat pelantikan Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK) yang berlangsung sehari sebelumnya.
“Sepatutnya kanopi besar itu ditanggalkan pada malam atau keesokan paginya sebelum cuaca buruk berlaku,” katanya.
Pada 17 November, pihak berkuasa tempatan bertindak mencabut dan menyimpan kedua-dua patung sementara menunggu proses pembaikan. Pembuat patung asal dilantik semula bagi memastikan kerja pemulihan dilakukan dengan tepat tanpa merosakkan struktur sedia ada.
Krisdiantoro memaklumkan bahawa perbincangan mengenai kos pembaikan sedang dijalankan bersama jawatankuasa pelantikan PPPK serta penyedia kanopi besar.
“Buat sementara waktu, patung-patung ini disimpan sehingga proses pemulihan selesai,” katanya.
Insiden tersebut mencetuskan reaksi meluas dalam talian susulan status patung itu sebagai ikon ruang awam Indramayu dan simbol sejarah negara.
Pemerhati menekankan bahawa langkah keselamatan lebih ketat perlu diambil untuk mengelakkan kerosakan melibatkan aset warisan, khususnya ketika ancaman cuaca ekstrem semakin meningkat di negara tersebut.-Agensi
Ringkasan AI
- Kanopi besar runtuh mengakibatkan kerosakan serius pada patung Presiden pertama Indonesia, Soekarno dan Naib Presiden Mohammad Hatta di Indramayu
- Kaca mata patung Bung Hatta rosak dan bahagian kepala serta leher patung Bung Karno terkehel akibat tekanan kanopi yang jatuh
- Kerosakan itu bukan disebabkan kecacatan bahan tapi akibat tekanan luar biasa daripada kombinasi angin kencang, hujan lebat dan beban air
- Kanopi tersebut tidak dibuka selepas majlis penyerahan surat pelantikan Pegawai Pemerintah sehingga cuaca buruk menyebabkan keruntuhan
- Pihak berkuasa menanggalkan dan menyimpan patung untuk pembaikan sementara, dengan pembuat patung asal dilantik bagi kerja pemulihan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

