Penubuhan negara Palestin kunci hubungan dengan Israel - Putera Mahkota Arab Saudi

Mohammed bin Salman (kanan) bersama Trump di Rumah Putih di Washington D.C. AS baru-baru ini. FOTO/ Reuters.
Mohammed bin Salman (kanan) bersama Trump di Rumah Putih di Washington D.C. AS baru-baru ini. FOTO/ Reuters.
A
A
A

WASHINGTON - Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menuntut wujudnya laluan jelas ke arah pembentukan negara Palestin terlebih dahulu sebelum menjalin sebarang hubungan dengan Israel.

Tegasnya, Arab Saudi mahu menjalin hubungan dengan Israel melalui Perjanjian Abraham yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tetapi syarat itu mesti dipenuhi terlebih dahulu.

Ketika bersama Trump di Rumah Putih, Putera Mohammed yang juga pemerintah ‘de facto’ berkata, Arab Saudi ingin menjadi sebahagian daripada Perjanjian Abraham, namun negara itu juga mahu memastikan terdapat laluan jelas ke arah penyelesaian dua negara.

"Kami akan berusaha ke arah itu bagi memastikan kita dapat menyediakan keadaan yang sesuai secepat mungkin.

“Selain itu, kami juga mahu keamanan untuk rakyat Israel, mereka hidup bersama secara aman di rantau ini dan kami akan melakukan yang terbaik demi mencapai saat itu," katanya.

Pada 2020, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi menjadi antara negara Arab pertama dalam tempoh beberapa dekad yang menjalin hubungan dengan Israel melalui Perjanjian Abraham.

Perkara itu dipuji dan disifatkan Trump serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai kejayaan diplomatik besar.

Langkah Arab Saudi akan memberikan kesan jauh lebih besar memandangkan statusnya sebagai penjaga dua tempat suci umat Islam serta pengaruhnya dalam dunia Arab dan Islam.

Berbeza dengan UAE, Arab Saudi berulang kali menegaskan penubuhan negara Palestin sebagai keutamaannya.

Artikel Berkaitan:

Netanyahu sejak sekian lama menolak penyelesaian dua negara, meskipun pernah memberikan sokongan dingin terhadap aspirasi Palestin dalam perjanjian gencatan senjata di Gaza yang diusahakan Trump.

Beliau kini mengetuai gabungan pemerintah berhaluan kanan yang bukan sahaja menolak penubuhan negara Palestin, malah mahu Israel menguasai Tebing Barat. - AFP

 

Ringkasan AI

  • Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman menuntut pembentukan negara Palestin sebelum hubungan dengan Israel
  • Arab Saudi ingin sertai Perjanjian Abraham dengan syarat penyelesaian dua negara tercapai
  • Arab Saudi menekankan perlunya laluan jelas untuk pembentukan negara Palestin dan keamanan di rantau itu
  • Negara Arab seperti UAE, Bahrain, dan Maghribi telah menjalin hubungan dengan Israel melalui Perjanjian Abraham
  • Langkah Arab Saudi dianggap akan beri kesan besar kerana status dan pengaruhnya di dunia Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!