KBS digesa tidak campur tangan isu FAM–FIFA

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) digesa supaya tidak mencampuri kemelut membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bairpun isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan turut dikaitkan dengan beberapa agensi kerajaan.
Pemerhati sukan tanah air Datuk Christopher Raj berkata tindakan disiplin terhadap FAM dan pemain terlibat adalah urusan FIFA, justeru sebarang penglibatan kerajaan walaupun atas alasan penyelarasan antara agensi tetap dianggap melanggar prinsip autonomi bola sepak seperti ditetapkan badan induk itu.
“Lebih baik menteri mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak campur tangan kerana jika FIFA mengesan ada campur tangan, FAM boleh digantung dan ia akan menjejaskan seluruh entiti yang terkait di bawah badan induk sukan itu.
“Tidak boleh ada arahan, permintaan membuat keputusan atau cadangan kerana banyak contoh negara sudah menerima hukuman penggantungan termasuk Bangladesh pada 2017, setelah seorang menteri meminta exco persatuan bola sepak mereka meletak jawatan, malah Pakistan juga menerima padah pada 2017 sehingga 2024,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Larangan itu sejajar dengan amaran FIFA bahawa mana-mana negara yang membenarkan pengaruh kerajaan dalam keputusan bola sepak boleh dikenakan penggantungan serta-merta, sekali gus menjejaskan penyertaan skuad kebangsaan dalam semua kejohanan rasmi.
Dalam kes melibatkan pemalsuan dokumen, perkara itu tertakluk di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang hanya boleh ditangani melalui sistem perundangan sukan antarabangsa dan bukannya mekanisme pentadbiran kerajaan.
FAM sebelum itu membuat keputusan untuk meneruskan proses rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), susulan laporan terbaharu FIFA berkaitan skandal kelayakan pemain negara yang menyebabkan tujuh pemain digantung. - Bernama
Ringkasan AI
- KBS digalakkan tidak mencampuri isu FAM dan FIFA.
- Tindakan disiplin terhadap FAM dan pemain adalah urusan FIFA.
- Campur tangan kerajaan boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA.
- Contoh penggantungan kerana campur tangan kerajaan termasuk Bangladesh dan Pakistan.
- Isu pemalsuan dokumen pemain di bawah tanggungjawab FIFA, bukan mekanisme kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
