Bas dipercayai alami masalah teknikal rempuh lima kenderaan

KUALA LUMPUR – Sebuah bas yang dipercayai mengalami masalah teknikal merempuh lima kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Imbi di sini pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam berhampiran Masjid Al-Bukhary.

"Kejadian berlaku apabila bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki berusia 56 tahun.
"Impak pelanggaran tersebut turut mengakibatkan sebuah lagi bas Scania, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Staria, sebuah Toyota Vios dan sebuah Honda City terlibat dalam kemalangan sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kedua-dua bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut membawa penumpang, namun kesemua penumpang berjaya keluar dengan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Sementara itu, pemandu Nissan Sylphy bersama beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan. Kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Sebuah bas yang dipercayai mengalami masalah teknikal merempuh lima kenderaan lain di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur
- Kemalangan berlaku berhampiran Masjid Al-Bukhary pada jam 11.30 malam
- Bas hilang kawalan dan pertama kali melanggar sebuah kereta Nissan Sylphy
- Kedua-dua bas terlibat dalam kemalangan tersebut membawa penumpang yang kesemuanya selamat
- Pemandu Nissan Sylphy dan beberapa penumpangnya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke HKL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

