Statistik bunuh diri libat belia di Pulau Pinang membimbangkan

Joseph ketika membahas Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2026 pada Isnin.
Joseph ketika membahas Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2026 pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang daripada 10 belia di Pulau Pinang pernah terfikir, merancang atau cuba membunuh diri sekali gus menunjukkan tahap kebimbangan serius terhadap kesihatan mental generasi muda di negeri ini.

Joseph Ng Soon Siang (DAP-Air Itam) berkata, dapatan data kesihatan negeri menunjukkan 12 peratus belia pernah terfikir untuk membunuh diri, 9.5 peratus pernah merancang manakala 9.3 peratus pernah membuat cubaan membunuh diri.

Menurutnya, walaupun angka tersebut sedikit lebih rendah daripada purata kebangsaan, situasi itu masih dianggap kritikal dan memberi gambaran jelas bahawa tekanan mental dalam kalangan belia berada pada tahap membimbangkan.

“Data Kementerian Kesihatan terbaharu menunjukkan 13.1 peratus belia di Malaysia mempunyai kecenderungan bunuh diri, 10 peratus pernah merancang dan 9.5 peratus pernah mencuba.

"Ini bukan isu terpencil dan perlu diberi perhatian serius,” katanya ketika membahas Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2026 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Joseph berkata, daripada tahun 2020 hingga 2025, Pulau Pinang telah merekodkan 564 kes bunuh diri menjadikan negeri ini kelima tertinggi di Malaysia dalam tempoh berkenaan.

Daripada jumlah itu, hanya 103 individu berjaya diselamatkan dengan purata 20 orang diselamatkan setiap tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tekanan emosi merupakan punca utama bunuh diri dengan 209 kes diikuti masalah kesihatan (73 kes), kesukaran kewangan (70 kes) dan konflik keluarga (60 kes).

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap usaha menangani isu kesihatan mental selain menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap keadaan emosi anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang daripada 10 belia di Pulau Pinang pernah terfikir, merancang atau cuba membunuh diri.
  • Angka tersebut sedikit lebih rendah daripada purata kebangsaan.
  • Dari tahun 2020 hingga 2025, Pulau Pinang rekodkan 564 kes bunuh diri, kelima tertinggi di Malaysia.
  • Tekanan emosi punca utama bunuh diri berbanding masalah kesihatan, kesukaran kewangan, dan konflik keluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!