X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sebar berita palsu Covid-19: Sultan Kedah

SULTAN SALLEHUDDIN
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menasihatkan rakyat supaya tidak menyebarkan berita palsu berk aitan koronavirus (Covid-19).

Baginda turut meminta rakyat tidak melakukan pembelian panik kerana kerajaan memberi jaminan barangan keperluan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Sultan Sallehuddin juga mengingatkan rakyat menjaga kesihatan sepanjang tempoh berkenaan dengan terus berada dalam rumah masing-masing.

“Rakyat juga harus sentiasa memastikan suasana persekitaran rumah dalam keadaan bersih dan terjaga, selain kerap mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan penjarakan sosial,” titah baginda.

Baginda juga mahu rakyat Kedah mematuhi arahan dan terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting atau kecemasan yang perlu diselesaikan.

“Pastikan tiada sebarang aktiviti sosial atau berkumpul di luar rumah dilakukan sepanjang tempoh terbabit bagi memastikan semua berada dalam keadaan selamat.

"Inilah masa untuk kita menggalas tanggung jawab dan mainkan peranan masing-masing bagi membendung jangkitan wabak ini,” titah baginda.

Titah sama turut dizahirkan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Amar (dua, kiri) menyerahkan sumbagan peralatan dan kelengkapan perubatan daripada Kerabat DiRaja Kedah kepada Dr Zaitun (dua, kanan) disaksikan oleh Dr Mohd Fikri (kanan), di Wisma Darul Aman, hari ini.
Amar (dua, kiri) menyerahkan sumbagan peralatan dan kelengkapan perubatan daripada Kerabat DiRaja Kedah kepada Dr Zaitun (dua, kanan) disaksikan oleh Dr Mohd Fikri (kanan), di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerabat DiRaja Kedah berkenan menyumbang peralatan perubatan bernilai lebih RM300,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selaku pusat rawatan untuk wabak Covid-19.

Majlis penyerahan peralatan dan kelengkapan perubatan bagi merawat pesakit Covid-19 diwakilkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Amar Shaikh Mahmood Naim kepada Pengarah HSB, Dr Zaitun Udin, disaksikan oleh Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang.

Dr Zaitun menjunjung kasih atas keprihatinan baginda berdua susulan sumbangan ini merupakan kurniaan peribadi Kerabat Diraja Kedah bagi membantu menangani pandemik Covid -19, khususnya di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Antara kelengkapan termasuk lima unit Infusion Pump, 20 unit Mechanical Bed, lima Electrical Bed, lima Mindray SP5, 10 Mindray VP5 (1) Medical Emergency Cart, Defibrillator, Mindray beneHeart R3A ECG 3CH; Mindray VS600 dan Biological Isolation Chamber,” katanya.

Menurutnya, sumbangan ini sememangnya amat bermakna dan bertepatan untuk bersama mencegah penularan Covid -19, serta membantu petugas kesihatan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit khususnya yang dijangkiti.

Sementara itu, Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada NGO mahupun perseorangan agar petugas kesihatan dapat menawarkan perkhidmatan terbaik sepanjang berdepan pandemik ini.

“Ada beberapa pesara dalam bidang perubatan turut tawarkan diri membantu, namun kita turut dibantu oleh petugas kesihatan swasta yang tampil sebagai sukarelawan,” katanya.

Menurutnya, keperluan mendesak adalah untuk mendapatkan peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU (unit rawatan rapi) serta peralatan perlindungan diri (PPE), yang turut disumbangkan pelbagai pihak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus