[VIDEO] Tukang masak maut ditikam: Tiga lelaki Myanmar direman tujuh hari
BUKIT MERTAJAM - Tiga lelaki warga Myanmar termasuk dua beradik ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh tukang masak wanita dalam kejadian di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru di sini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah ke atas tiga lelaki berusia 30-an bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap dibawa ke mahkamah dengan diiringi polis pada jam 8.45 pagi.
Pada Isnin Sinar Harian melaporkan seorang tukang masak warga Myanmar maut manakala suaminya cedera selepas ditikam seorang pelanggan di sebuah restoran masakan ala Thai di Lorong Bukit Juru di sini pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan mangsa berusia 40-an meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki yang merupakan rakan suspek turut mengalami kecederaan akibat ditikam dalam kejadian sama.
Difahamkan suspek yang juga warga Myanmar bersama beberapa rakannya datang ke restoran terbabit sekitar jam 8.30 malam dipercayai dalam keadaan mabuk dan tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.
Mereka dikatakan bertengkar dengan mangsa dan suaminya sebelum wanita itu menghalau mereka dari restoran terbabit.
Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, salah seorang daripada mereka berusia lingkungan 30-an itu dikatakan memanggil abangnya dan kembali semula ke restoran berkenaan sebelum suspek bertindak menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.
Ringkasan AI
- Tiga lelaki warga Myanmar ditahan reman tujuh hari untuk siasatan kes bunuh tukang masak wanita di sebuah restoran di Bukit Mertajam
- Perintah reman oleh Majistret membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Kejadian pembunuhan berlaku selepas suspek dan mangsa bertengkar mengenai makanan yang dihidangkan
- Suspek dalam keadaan mabuk, menikam mangsa dengan pisau setelah tidak berpuas hati dihalau dari restoran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
