Oxford Union undi Israel sebagai ancaman lebih besar berbanding Iran

LONDON – Persatuan debat berprestij Oxford Union mengundi secara besar-besaran menyokong usul yang menyatakan bahawa Israel merupakan ancaman lebih besar kepada kestabilan serantau berbanding Iran.
Dalam debat di institusi berusia 202 tahun itu, pendukung usul termasuk bekas Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berhujah bahawa dasar serta tindakan Israel mencetuskan ketidakstabilan dan peperangan berulang di rantau Asia Barat.
Mereka menggambarkan Israel sebagai negara kolonial perluasan wilayah yang beroperasi di luar undang-undang antarabangsa serta mengabaikan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Shtayyeh turut menuduh Israel mengekalkan dasar nuklear, menguatkuasakan apartheid, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan melaksanakan pendudukan ganas yang menurutnya mengheret seluruh rantau ke dalam konflik berterusan.
Pihak pembangkang yang diketuai Pengarah UN Watch, Hillel Neuer menolak usul itu sebagai 'songsangan realiti'.
Beliau berhujah bahawa ancaman sebenar diukur melalui pihak yang memulakan peperangan, merujuk kepada tindakan Iran membekalkan senjata kepada Hezbollah, Hamas dan kumpulan Houthi di beberapa negara Arab.
Walaupun Oxford Union tidak mengeluarkan angka rasmi, keputusan itu digambarkan sebagai kemenangan 'menggulung' bagi pihak pendukung usul.
Keputusan tersebut mencetuskan kritikan pantas daripada penyokong Israel. Neuer kemudian menyifatkan keputusan itu sebagai 'satira besar' di media sosial.
Debat ini menyusuli siri perbincangan berkaitan Israel di Oxford Union termasuk undian tahun lalu yang melabelkan negara itu sebagai 'negara apartheid yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai' dengan majoriti 278 berbalas 59 undi. - Agensi
Ringkasan AI
- Persatuan debat Oxford Union menyokong usul bahawa Israel merupakan ancaman lebih besar kepada kestabilan serantau berbanding Iran
- Pendukung usul, termasuk bekas Perdana Menteri Palestin, menggambarkan Israel sebagai negara kolonial dan melanggar undang-undang antarabangsa
- Israel dituduh mengekalkan dasar nuklear, menguatkuasakan apartheid, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pendudukan ganas
- Pembangkang usul, diketuai Pengarah UN Watch, menuduh Iran yang sebenarnya memulakan peperangan dengan membekalkan senjata kepada beberapa kumpulan
- Keputusan debat di Oxford Union menarik kritikan dari penyokong Israel, sementara kemenangan pendukung usul digambarkan sebagai kemenangan 'menggulung'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

