Lima tokoh besar dijangka jadi ‘poster boy’ - Penganalisis

SHAH ALAM - Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Seri Hajiji Noor, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka menjadi ‘poster boy’ bagi parti masing-masing pada PRN Sabah ke-17.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan pengaruh dan kedudukan tokoh berkenaan yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah oleh parti diwakili mereka.
“Pada pandangan saya, dalam Barisan Nasional (BN) hanya dua nama besar ini akan dipertimbangkan iaitu Bung Moktar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
“Perikatan Nasional (PN) pula dijangka menampilkan Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai ‘poster boy’, begitu juga dengan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakhbar Gulasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah beliau, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) pula dijangka mengekalkan pemimpin utama mereka iaitu Hajiji serta Mohd Shafie sebagai ‘poster boy’.
“Setiap parti melihat kepada suasana semasa dan kehendak akar umbi.
“Sebelum pembubaran lagi, nama-nama yang dinyatakan ini antara paling ‘top’ untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri Sabah sekiranya mereka menang PRN.
“Bagaimanapun, saya nampak suasana sekarang amat sukar untuk diramal. Dalam masa 24 jam atau 48 jam akan datang, tidak mustahil akan berlaku perubahan,” ujar beliau.
Mengulas mengenai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Syahruddin Awang berkata, ia mungkin tertumpu kepada Presidennya, Datuk Ewon Benedick sebagai ‘poster boy’.
“Saya tidak dapat memberi jangkaan tepat. Lagipun UPKO merupakan parti yang tidak menang banyak kerusi, jadi Ewon berkemungkinan menjadi pelengkap kepada mana-mana gabungan selepas ini,” ujarnya.
Syahruddin Awang turut menjangkakan gabungan calon bebas atau dikenali sebagai gerakan Gelombang Hitam di Sabah akan memilih Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda sebagai ‘poster boy’.
Ringkasan AI
- Bung Moktar Radin, Ronald Kiandee, Hajiji Noor, Ruji Ubi dan Mohd Shafie Apdal dijangka menjadi poster boy bagi parti masing-masing pada PRN Sabah
- Kedudukan dan pengaruh mereka membuat mereka berpotensi untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah
- Barisan Nasional kemungkinan mempertimbangkan Bung Moktar dan Salleh Said Keruak, Perikatan Nasional dengan Ronald Kiandee, manakala Pakatan Harapan dengan Ruji Ubi
- Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan dijangka mengekalkan Hajiji dan Mohd Shafie sebagai poster boy
- Peluang calon bebas atau gerakan Gelombang Hitam memilih Verdon Bahanda sebagai poster boy, walaupun dianggap tidak mungkin menang suku dari jumlah ada tanpa isu khusus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


