PRN Sabah: Kekalkan kempen bersih dalam persaingan sengit

SHAH ALAM - Penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bermula pada Sabtu menandakan permulaan rasmi tempoh kempen sehingga hari pengundian pada 29 November ini.
Tumpuan kini beralih kepada strategi calon bagi memastikan kempen bersih, adil dan berintegriti apatah lagi PRN kali ini menunjukkan persaingan sengit yang mencatatkan jumlah pencalonan tertinggi dalam sejarah negeri Sabah.
Ia dapat dilihat apabila 596 calon bertanding bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menunjukkan kepelbagaian ideologi parti serta individu yang bersaing.
Senarai penuh kerusi dan jumlah calon yang bertanding bagi setiap kawasan juga menggambarkan keghairahan dan persaingan yang berlaku di Sabah.
Misalnya, kerusi DUN Tulid menyaksikan pertembungan 14 calon yang disahkan bertanding di kawasan itu selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu.
Namun, persaingan begitu sengit berpotensi membuka ruang kepada taktik tidak sihat jika tidak dibendung awal.
Menjadi kerisauan kemungkinan berlakunya politik kotor seperti serangan peribadi, penyebaran maklumat palsu, ugutan halus terhadap pengundi serta manipulasi sentimen kaum.
Sehubungan itu, perlu ditegaskan agar semua calon dan parti mematuhi tatakelakuan pilihan raya selain mengutamakan kempen yang bersifat dasar dan bukannya menyerang peribadi lawan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu meningkatkan pemantauan bagi memastikan perjalanan kempen berlangsung dalam suasana yang adil dan bebas daripada provokasi melampau.
Kejayaan calon mengekalkan integriti akan memberi kesan positif kepada reputasi mereka sebagai pemimpin bertanggungjawab dan pembangunan jangka panjang negeri.
Oleh itu, berbaki kurang sebulan, semua pihak diharapkan dapat menjalankan kempen PRN Sabah ke-17 dalam suasana sihat, matang dan berfokus kepada masa depan negeri, selaras dengan semangat demokrasi yang ingin dipertahankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

