X

Kindly register in order to view this article
!

Terus tangkap jika ingkar PKP: Ketua Polis Johor

Ayob Khan (depan, kanan) meninjau keadaan di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru hari ini bagi melihat tahap pematuhan orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga dalam mencegah penularan wabak Covid-19.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor tidak akan bertolak ansur dengan orang ramai yang masih ingkar dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada lagi amaran akan diberikan dan bagi mereka yang terus ingkar akan ditangkap.

"Jika melalui sekatan jalan raya kita dapati masih ada empat atau lima orang dalam kereta, kita akan suruh mereka patah balik. Langkah ini untuk memastikan orang ramai benar-benar mematuhi arahan PKP.

"Setakat ini polis sudah membuka 32 kertas siasatan dengan tiga daripada kes itu kita tuduh semalam di mahkamah dan mereka sudah pun mengaku bersalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Pasar Borong Pandan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa pihak polis tidak tegas dan terlalu berlembut terhadap orang ramai yang masih ingkar dengan arahan PKP.

Setakat ini Johor mencatatkan 196 kes koronavirus (Covid-19) termasuk lima kes melibatkan kematian dengan Batu Pahat dan Kluang menjadi zon merah atau hotspot.

Ayob berkata, bagi kilang yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk beroperasi, premis berkenaan akan diarahkan tutup serta dikenakan tindakan.

Menurutnya, tahap pematuhan penduduk negeri Johor terhadap PKP yang memasuki hari kesembilan hari ini meningkat sebanyak 96 peratus.

Katanya, statistik berkenaan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding kadar pematuhan semalam 95 peratus dan kelmarin 94 peratus.

Ditanya sama ada indeks jenayah di negeri ini menurun sejak penguatkuasaan PKP, beliau mengakuinya namun katanya, perkembangan itu mungkin kerana orang ramai yang tidak dibenarkan keluar ketika ini sekali gus tidak dapat membuat laporan polis sedangkan pihaknya masih menerima laporan kes pecah rumah dan curi motosikal.