Proses nyahcemar mula dilakukan di premis awam

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Proses pembersihan dan pencucian nyahcemar untuk mengawal penularan koronavirus (Covid-19) akan dilakukan di premis awam terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

"Proses berkenaan akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kemungkinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya diperlukan.

“Buat masa ini, premis-premis awam akan menjadi tumpuan kita seperti di kawasan yang berisiko tinggi seperti di pasar awam dan kawasan masjid,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, menurutnya, mesyuarat hari ini memutuskan supaya seorang menteri Persekutuan akan menyertai mesyuarat majlis keselamatan peringkat negeri bagi menyelaraskan usaha kerajaan Persekutuan dan negeri dalam mengawal penularan Covid-19.

“Seorang menteri (Persekutuan) yang datang dari negeri itu akan berada dalam mesyuarat berkenaan bagi menyampaikan maklumat dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan supaya kita boleh selaraskan sebarang tindakan yang bakal dilaksanakan.

“Menteri itu juga haruslah datang daripada negeri yang terlibat. Keputusan meletakkan menteri (Persekutuan) akan bermula secepat mungkin, seorang menteri akan berada dalam setiap mesyuarat secepat mungkin,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: